FOTO : KDA FC
KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) tidak akan menganggap tugas mudah dapat dilaluinya meskipun selesa beraksi di laman sendiri apabila berdepan Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Rabu.
Saingan ‘Derbi Utara’ ini dijangka berulang dengan cukup sengit dan akan memaksa kedua-dua pasukan bekerja lebih keras demi memastikan kebangkitan terus memungut tiga mata untuk kembali berada pada kelompok pasukan teratas liga.
Kedah yang kini berada di kedudukan kedua liga di belakang Johor Darul Ta’zim sedar rintangan bakal dihadapi jika melihat melalui rekod perlawanan yang dilalui sebelum ini, dan ianya tidak mudah buat anak buah Nafuzi Zain.
Pada 8 Mac lalu, Penang menyingkirkan KDA FC menerusi sepakan penalti 4-3 selepas terikat 2-2 pada masa sebenar di Stadium Darul Aman.
Para penyokong Sang Kenari masih terluka dan belum dapat melupakan episod kekalahan di halaman sendiri kini mahu turun ‘menyerbu’ semula stadium bagi memberikan sorakan padu dengan matlamat misi menebus aib.
Pun begitu, keputusan seri diraih semasa mengikat Tok Gajah di Kuantan baru-baru ini seakan menghadirkan elemen baharu untuk tuan rumah lebih memahami corak permainan seperti diinginkan Nafuzi.
Apa yang perlu dilakukan pemain Kedah terutama Willian Lira adalah meningkatkan lagi prestasi permainan, lebih tajam depan gawang dan pada masa yang sama lebih waspada dengan kebangkitan pihak lawan yang turut mengintai mata penuh pada perlawanan kali ini.
Para pemain pastinya dalam situasi cukup bersedia dalam aksi 90 minit ini dan pasukan mana mengurangkan kesilapan berpeluang memburu tiga mata.
KDA FC turut melakukan persiapan yang lancar dalam tempoh cuti sebelum kembalinya jadual Liga Super hujung bulan lepas dan Nafuzi sudah tentu berharap semua pemainnya dapat kembali menunjukkan momentum beraksi pada tahap yang terbaik.
INFO PERLAWANAN