BATTLE of The Legends 2024 yang berlangsung malam ini di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Brunei akan menyaksikan pertarungan hebat daripada pemain-pemain legenda Malaysia dan juga pemain legenda tuan rumah sendiri.

Perlawanan yang diadakan buat julung kalinya ini adalah sebagai tanda untuk meraikan hubungan kekeluargaan yang ke-40 antara Brunei Darussalam dan Malaysia, sejurus dapat mempamerkan lagi keakraban antara dua negara itu.

Lebih menarik lagi, Norrisyam Ramli selaku penolong pengurus pasukan dari Malaysia Football Museum turut berkongsi bahawa perlawanan berprestij ini akan dijadikan sebagai satu acara tahunan sekali gus membuka peluang untuk negara lain menyertai saingan Battle of The Legends ini.

Sesi bergambar sebelum berangkat ke Brunei.

“Idea penganjuran ini datang daripada Pengiran Omar Brunei, dia mahu meraikan hubungan antara Brunei dan Malaysia yang ke-40 tahun. Jadi, perlawanan ini menjadi satu medan untuk mengingati jasa bekas pemain.

“Kerana majoriti pemain legenda Brunei yang akan bermain malam ini juga pernah beraksi di Liga Malaysia suatu ketika dahulu.

“Jadi, sudah agak lama mereka tidak bersua di atas padang. Kita pun kembalikan era ini kerana peminat-peminat juga mahu lihat bekas-bekas pemain ini beraksi di Brunei.

Senarai pemain legenda Malaysia yang dibawa ke Brunei.

“Perlawanan ini juga akan menjadi acara tahunan dan mungkin tahun depan, pasukan dari Singapura juga akan sama terlibat. Kita tengok dua tiga tahun selepas itu, jika sambutan menarik, mungkin empat negara ASEAN pula dapat kita kumpulkan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Aksi yang berlangsung tepat jam 8 malam ini di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah akan menghimpunkan barisan bekas pemain yang cukup hebat seperti Azman Adnan, Ramles Sari, Ali Sapiee, Raymos Sari, Suharmin Yusuf, Datuk Subardron Aziz, A.Jayakanthan, Azizul Kamaludin, Harun Laban dan Nazzab Hidzan.

Selain itu, turut sama adalah Zaquan Adha, Khalid Jamlus, Norazlan Razali, Azammuddin Akil, Sapian Wahid, Safee Sali, Zainizam Marjan, Zulhamizan Zakaria, Baddrol Bakhtiad dan Asmawi Bakiri. Datuk K.Rajagobal pula dilantik sebagai jurulatih pasukan bagi perlawanan malam ini.