BEKAS bintang ragbi negara, K.Dinesvaran mengambil berat tentang prestasi semasa skuad ragbi kebangsaan dan menyarankan supaya mereka mengadakan program latihan berpusat sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Menurut Dinesvaran atau lebih gemar disapa sebagai Dugro, cadangan sedemikian mungkin dapat menjadi jalan keluar daripada masalah prestasi yang kian corot oleh skuad ragbi 15 sebelah (15s) terutama selepas mengakhiri kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) di tempat keempat kumpulan.

Oleh itu, sesi latihan berpusat selama enam bulan dilihat mampu menjadi inisiatif yang dapat meningkatkan lagi mutu kualiti permainan dan mengeratkan lagi hubungan sesama pemain di dalam padang mahupun di luar padang.

“Saya sudah lama fikir tentang perkara ini, di mana kita perlukan masa enam bulan (bukan secara berterusan) untuk mengadakan sesi latihan berpusat buat mereka. Contoh, kumpulkan pemain pada bulan Januari dan adakan sesi pengenalan ‘ice breaking’, disusuli program seterusnya.

Dugro yang ditemui di RSC pada Selasa.

“Jadi dalam tempoh itu, pemain sudah mendapat keserasian. Enam bulan jelas adalah tempoh terbaik untuk menggilap pemain. Jika kita dapat laksanakannya, maka kita boleh kekalkan standard yang tinggi dalam liga premier (divisyen).

“Seperti saya tengok, Malaysia tiada masalah dari segi ukuran badan (fizikal). Pemain hanya perlukan latihan secara kerap dan mengeraskan lagi tahap latihan kerana kita masih ‘lembut’. Mentaliti pemain kita semua sudah bagus,” ujarnya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Akademi Ragbi Royal Selangor Club (RSC) pada Selasa.

Dalam masa yang sama, Dugro turut melihat bahawa peranan jurulatih akan menjadi rumit apabila berdepan dengan waktu yang singkat untuk mempersiapkan pasukan dalam menghadapi persaingan atau kejohanan-kejohanan besar.

“Jika kita bawakan jurulatih dari All Blacks kemudian bagi dia tempoh enam minggu untuk melatih, tetap tidak boleh jadi apa. Dia tidak boleh melakukan magik kerana dia juga mahu melihat keadaan pemain yang cukup bersedia.

“Jika berhempas pulas dalam enam minggu latihan sekali pun, risau pemain akan cedera. Jadi, tempoh enam bulan adalah yang terbaik,” kata Dugro.