BAGI yang mahu melihat ‘gelas separuh kosong’, kekalahan pada saat akhir di tangan Vietnam pada separuh akhir bola sepak Sukan SEA 2021 di Stadium Viet Tri malam tadi cukup-cukup mengecewakan.
Bagi penulis pula, saya melihat dari sudut positif. ‘Gelas bukan separuh kosong, tetapi sebenarnya separuh terisi’.
Brad Maloney dan anak buahnya tentu kecewa dengan kekalahan ini, sedangkan barisan pertahanan kental menahan asakan dan hampir-hampir mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Berbanding Vietnam, Thailand dan Indonesia, Maloney sengaja menyenaraikan barisan pemainnya tanpa seorangpun pemain melebihi usia 23 tahun. Ini bagi penulis adalah perjudian yang berani.
Hasilnya, Maloney mendedahkan Mukhairi Ajmal Mahadi dan rakan-rakan seperjuangannya dengan perlawanan kompetitif antarabangsa, tanpa mengira status lawan sebagai platform terbaik bersiap menghadapi Piala Asia AFC Bawah 23 tahun di Uzbekistan Jun nanti.
Tika dan saat ini, Maloney tiada pilihan lain kecuali membangkitkan semula semangat anak buahnya untuk penentuan gangsa menentang Indonesia di Stadium My Dinh, petang Ahad nanti.
Park Hang-Seo pula menarik nafas lega dengan kemenangan tipis yang dibantu oleh tiga pemain senior – Do Hung Dung, Nguyen Huang Duc dan Nguyen Tien Linh – untuk menempah perhitungan emas dengan Thailand.
Sekalipun bolos enam gol dalam peringkat kumpulan, Mukhairi Ajmal, Azri Abdul Ghani, Quentin Cheng, Azrin Afiq, Azam Azmi Murad, Zikri Khalili, Safwan Mazlan dan Hairiey Hakim membentuk teras yang kental bagi menafikan Vietnam.
Bagi negara yang gagal melepasi peringkat kumpulan pada 2019, kejayaan mara ke separuh akhir harus dilihat secara positif.
Menewaskan Thailand 2-1, Laos 3-1 dan seri 2-2 dengan Singapura dan Kemboja bukanlah rekod yang sempurna tetapi mereka ada gunung lebih tinggi untuk didaki Jun nanti.
Tanpa kelibat Akhyar Rasid dan Arif Aiman Hanapi yang diperlukan untuk memperkuatkan skuad senior negara menghadapi kelayakan Piala Asia AFC, Maloney harus kekal fokus menjelang misi di Uzbekistan.
Menentang Korea Selatan, Thailand dan Vietnam dilihat sukar tetapi dalam bola sepak tiada yang mustahil.
Cuma Maloney perlu memerah otak untuk menajamkan lagi jentera serangan.
Andai hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat tidak tepat ke kaki Ahmad Danial Asri dan Luqman Hakim Shamsuddin mahupun Hadi Fayyadh Abdul Razak, Ajmal akan dipaksa menanggung beban berlebihan, termasuk mengambil sepakan percuma dan sepakan sudut selain menghidupkan jentera tengah dengan lariannya.
Bagi skuad yang berdepan masalah mengumpul pemain akibat komitmen kelab dalam saingan domestik sehinggalah MFL merombak semula jadual sebelum mereka berangkat ke Hanoi, anak buah Maloney harus diberi pujian atas usaha dan keringat mereka.
Yang pasti, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin antara ratusan anggota kontinjen negara yang berada di stadium yang turut kecewa. Setiap kali mana-mana wakil negara tewas, sama ada futsal, bola sepak lelaki dan wanita mahupun bola sepak pantai, netizen akan menuding jari ke arah Hamidin, biarpun ramai tidak tahu beliau murung beberapa hari setiap kali Malaysia menerima kekalahan.
Untuk mengubat sedikit kekecewaan yang melanda, Maloney perlu memulihkan moral pemainnya. Ulangi gangsa yang dimenangi di Hanoi oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan rakan-rakan 19 tahun lalu.