DUA atlet muda yang sudah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024, turut berpotensi menjadi taruhan terbaik negara pada Temasya Los Angeles 2028.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemanah negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan penerjun Bertrand Rhodict Lises masih muda, harus di jaga dengan baik oleh semua pihak.
Menurut beliau, Olimpik Paris 2024 menjadi yang pertama buat dua atlet berusia 19 tahun itu, sekali gus menjadi pentas terbaik buat mereka mendapatkan pengalaman.
“Ariana dan Rhodict… saya kira Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan perlu jaga pemain ini. Apabila saya jumpa Rhodict (awal Februari) di Doha (Kejohanan Akuatik Dunia) dan Ariana (bertemu ketika di Kompleks MSN Nilai semalam), mereka adalah atlet kita yang berpotensi untuk ke Olimpik seterusnya.
“Mungkin di LA28 dan umur mereka masih muda dan mempunyai karakter yang bagus. Kalau kita gilap, mereka boleh terus berjaya nanti. Persatuan, MSN atau kerajaan perlu bantu kerana kita boleh buat sesuatu untuk atlet ini,” katanya.
Ujar Hamidin, meskipun ada atlet yang layak ke Olimpik Paris 2024 dan tidak berada di dalam program Road to Gold (RTG), beliau bersama pihak berwajib akan cuba sebaik mungkin untuk membantu serta memenuhi hasrat dari mereka.
“Walaupun mereka bukan dalam RTG, seperti perbincangan saya dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, beliau cukup prihatin dan bersedia membantu memenuhi permintaan atlet kerana selain kita nak buru pingat emas, dia nak juga menang medal sebanyak yang boleh,” katanya
Ariana bermain dalam acara recurve, mengesahkan slot ke Olimpik Paris 2024, pada Kejohanan Benua Asia di Bangkok, Thailand 2023 sementara Rhodict menjadi satu-satunya penerjun negara yang layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi acara 10m platform lelaki selepas mengesahkan slot pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lalu.