Foto: Darul Takzim FC & Johor FA
TULAR di kalangan peminat sukan permotoran apabila Litar Pasir Gudang, Johor mempunyai wajah baharu sekali gus menguatkan lagi bukti bahawa ianya bakal menjadi pangkalan akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team.
JDT Racing yang sedang melakukan persiapan rapi demi melangkah ke kejuaraan Asia Road Racing Championship (AARC) 2024 telah diwakili oleh pelumba nombor satu negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
Selain itu, juga dimaklumkan bahawa kerja naik taraf yang dilakukan di Litar Johor ini bukan sahaja beri manfaat buat sukan permotoran malah ia membuka laluan kepada Johor Motorsports Racing Team (JMR) yang diketuai oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri sendiri.
Perkara ini turut dibuktikan daripada bayangan yang diberi oleh Tunku Abdul Rahman sebelum ini, bahawa mungkin Litar Pasir Gudang itu bakal menjadi ‘rumah’ buat pasukan JMR pada suatu hari.
Artikel Berkaitan: Tunku Abdul Rahman beri bayangan Litar Pasir Gudang bakal jadi pangkalan JMR
Jadi, tidak mustahil dengan pembangunan Litar Pasir Gudang ini, ianya bakal memacu negeri itu sendiri untuk mendalami arena sukan selain daripada bola sepak yang kini berjaya mencuri tumpuan di persada Asia.
Mungkin pasukan permotoran dan lumba kereta JDT mampu beri saingan dan cabaran untuk mengikut jejak langkah bola sepak JDT pada suatu hari kelak.
Untuk rekod, Litar Pasir Gudang ini telah dibina pada tahun 1986 dan ia adalah kelas motor antarabangsa pertama perlumbaan litar di luar Lembah Klang.
Litar ini turut pernah menjadi venue bagi kejohanan Grand Prix Motosikal Malaysia pada tahun 1998 dan sayangnya, ia ditutup sejak lebih kurang sembilan tahun lalu bagi memberi ruang kepada kerja penyelenggaraan dan naik taraf litar.