PRESTASI Nurul Izzah Izzati Mohd Asri di Milton, Kanada sangat baik biarpun hanya menamatkan perlumbaan keirin di tangga kesembilan.

Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley berkata, prestasi Nurul Izzah antara yang terbaik ditampilkannya pada saingan Kejohanan Piala Negara-Negara itu.

“Izzah berlatih untuk acara keirin dan berlumba dengan menakjubkan. Pencapaiannya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dalam persaingan yang cukup kompetitif (di Milton) membuktikan potensi yang ada dalam dirinya,” kata Beasley.

John Beasley bersama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Muhammad Ridwan Sahrom, berhari raya di Kanada.

Dalam pada itu, Beasley mengiktiraf sumbangan Siri Kejohanan Berbasikal Trek YSD (YSDTS) yang dianggapnya, menyumbang kepada peningkatan prestasi Nurul Izzah.

Katanya, pencapaian itu juga disebabkan sokongan padu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr. Yatela Zainal Abidin sejak sedekad yang lalu.

“Kami perlu berterima kasih kepada siri perlumbaan YSDTS kerana di situlah dia mempelajari kemahiran perlumbaan.

“Saya juga berterima kasih kepada Yayasan Sime Darby di atas sokongan mereka yang luar biasa, tanpa perlumbaan trek ini, kami tidak mampu membantu Izzah layak ke Olimpik.

“Sekarang kami perlu menjadikan perlumbaan tempatan ini ke tahap yang lebih tinggi dan kami sudah mempunyai rancangan untuk melakukannya, dan sekali lagi kami berterima kasih kepada YSD, Sport Excel dan Majlis Sukan Negara.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley puji Yayasan Sime Darby, dalam menganjurkan kejohanan sehingga membolehkan bakat sukan berbasikal negara menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Dr Yatela sudah menyokong kami selama kira-kira 10 tahun dan ini adalah penghargaan di atas sokongan dan kepercayaan Sime Darby dalam program kami, atlet muda kami semakin meningkat,” kata Beasley.

Berdasarkan ranking terkini dikemaskini Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tengah malam tadi, Nurul Izzah melonjak ke kedudukan ke-16 keirin, manakala dalam acara pecut, dia naik satu tangga ke ranking ke-20.