BEKAS bintang bola sepak dunia, David Beckham dan isterinya, Victoria Beckham, sekali lagi mencuri tumpuan apabila mereka membeli sebuah kediaman mewah bernilai £55.6 juta (RM320 juta) secara tunai di Miami.
Pembelian ini dilakukan tanpa perlu memohon sebarang pinjaman atau gadai janji, menjadikan ia satu pencapaian yang luar biasa bagi pasangan terkenal itu.
Rumah sembilan bilik yang terletak di kawasan elit Biscayne Bay ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan eksklusif termasuk kolam renang sepanjang 124 kaki, dapur chef, dan bilik pawagam peribadi. Pasangan ini menandatangani surat perjanjian hartanah tersebut pada 3 Oktober lalu.
Sumber terdekat mendedahkan; “David dan Victoria sememangnya kaya raya, tetapi membeli rumah bernilai RM320 juta dengan tunai adalah sesuatu yang mengagumkan. Mereka amat menyukai kediaman ini dan mahu meluangkan lebih banyak masa di sini.”
Rumah mewah ini menjadi tambahan terkini kepada portfolio hartanah mereka yang sedia ada. Selain kediaman baharu ini, Beckham dan Victoria juga memiliki sebuah apartmen bernilai £18 juta di Miami yang dibeli pada tahun 2020, serta sebuah rumah bandar bernilai £31 juta di Holland Park, London Barat.
Mereka turut memiliki sebuah rumah ladang yang telah diubahsuai di Cotswolds, bernilai £12 juta, di mana mereka sering menghabiskan masa bersama anak-anak mereka, Brooklyn, Romeo, Cruz, dan Harper.