HARI terasa indah, senyuman memikat terukir di wajah, semuanya terasa mudah, bangga sampai ke sudah. Inilah perasaan yang boleh digambarkan oleh kesemua penyokong Harimau Malaya apabila meraih kemenangan 10-0 keatas Papua New Guinea pada Selasa.

Jika sebelum ini momokan 10-0 sering menjadi mimpi ngeri penyokong selepas tewas kepada Emiriah Arab Bersatu dengan jaringan yang sama, kini segalanya tinggal sejarah apabila kita pula yang berbangga dengan sejarah ini.

Kemenangan di Terengganu bakal terpahat sebagai sejarah kemenangan terbesar Malaysia sejak sekian lama dan pertama di bawah kendalian Kim Pan-gon dan ianya perlu diingati sampai mati.

 

Meskipun resah di babak pertama selepas deretan peluang demi peluang disia-siakan namun segalanya berubah pada babak kedua apabila sembilan gol berjaya diledak hingga membuat semua tersenyum riang umpama di pagi Aidilfitri.

Gandingan Arif Aiman dan Faisal Halim menjadi mimpi ngeri barisan pertahanan lawan selain gandingan Akhyar Rashid dan Safawi Rasid yang juga menghadirkan gerun kepada lawan. Beruntung Malaysia mempunyai empat anak muda berkualiti tinggi ini.

Walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki tetapi ini adalah masanya untuk kita berasa gembira, teruja dan bangga dengan kejayaan ini. Ianya turut menjadi bualan di peringkat serantau apabila lawan yang sama berjaya mengikat negara jiran kita.

Sambutlah sorak sorai gembira ini seketika dan selepas ini lebih banyak kerja keras perlu dilakukan para pemain dan barisan kejurulatihan kerana beraksi di Piala Asia nanti sudah pasti berbeza dengan perlawanan persahabatan.

Para penyokong juga perlu mengubah kembali ‘expectation’ kerana kita perlu bersikap realistik dan sedar dengan kekuatan sebenar yang ada pada skuad Harimau Malaya ini.

Pedulikan apa kata pengkritik mengapa Malaysia hanya menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea sedangkan satu lagi negara jiran dapat mengundang juara Piala Dunia sebagai lawan.

Tetapi sedarkah kita semua yang Malaysia berjaya mengumpul tambahan sembilan mata dan naik dua anak tangga dalam ranking dunia Fifa sedangkan lawan kepada juara dunia itu kehilangan sembilan mata dan bakal jatuh rankingnya.

Bergembiralah. Lihat, dengar dan rasakan kenikmatan memenangi perlawanan antarabangsa dengan jaringan 10-0 kerana ianya bukan mudah untuk diulangi tetapi apa yang pasti kita sudah mempunyai gambaran untuk barisan terbaik di Piala Asia nanti.