BEKAS atlet kebangsaan bertaraf super star diharap menyertai keluarga Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) tahun hadapan dengan mendaftar diri sebagai ahli.

Keahlian atlet bertaraf bintang yang pernah bergelar juara dunia dan sebagainya amat penting kepada badan kebajikan bekas  atlet kebangsaan itu yang turut menetapkan sasaran keahlian 4,000 bekas atlet pada akhir 2024.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, ketika ini, bekas atlet negara yang terkenal di seluruh dunia agak segan untuk menjadi ahli Yakeb.

Datuk Nicol David aktif membantu membangunkan sukan negara, belum bersedia berdaftar sebagai ahli Yakeb.

“Bekas atlet elit yang pernah juara dunia, memenangi gelaran di seluruh dunia, high profile seakan segan nak sertai Yakeb, mungkin mereka fikir jika sertai Yakeb seakan-akan meminta pertolongan dan mereka tidak perlukan bentuk sedemikian.

“Kita sudah aproach Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei)… Nicol (Datuk Nicol David), kami tidak boleh buat apa-apa jika mereka tidak mahu berdaftar, tak boleh salahkan mereka juga,” kata Noorul, ketika ditemui.

Menurutnya, keahlian nama-nama besar dalam sukan negara, amat penting kerana menjadi nilai tambah kepada Yakeb, “Kerana atlet yang ada nama besar ini, akan memotivasikan bekas-bekas atlet lain untuk sertai Yakeb.”

Yakeb yakin, penyertaan bekas atlet kebangsaan seperti Datuk Lee Chong Wei dapat meningkatkan motivasi bekas atlet lain untuk turut sertai Yakeb.

Ujar Noorul, Yakeb kini mempunyai 3,017 keahlian dan beliau mensasarkan 4,000 keahlian hingga ke akhir tahun hadapan.

“Ramai yang belum berdaftar, membuatkan kita kecewa. Kita mahu mereka berdaftar kerana nak berkongsi pengetahuan dan pengalaman.”

Tambah beliau, terkini bapa kepada Nicol, Desmond David baru sahaja mendaftar sebagai ahli Yakeb.

Mengulas mengenai perancangan Yakeb pada tahun hadapan, beliau berkata, pihaknya akan membuat lawatan kunjungan ke atas Exco-exco negeri.

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) aktif menyalurkan sumbangan kepada bekas atlet kebangsaan yang berdaftar di bawahnya, keluarga bekas atlet juga mendapat manfaatnya.

“Ramai exco (sukan/kebajikan) sudah bertukar portfolio, jadi kami perlu membuat lawatan dan berkongsi maklumat mengenai Yakeb dan bentuk bantuan yang boleh mereka salurkan kepada bekas atlet di negeri-negeri,” kata Noorul.

Menurutnya, Skim Bantuan Khas Yakeb menawarkan 12 jenis bantuan kepada ahli, seperti khairat kematian, rawatan perubatan penyakit, rawatan perubatan hospital ahli, bantuan alat sokongan perubatan dan bantuan melanjutkan pelajaran.