BEKAS pertahanan West Ham United, John Paintsil, 43, dikejarkan ke hospital selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengerikan pada Sabtu lalu.

Kemalangan berlaku ketika Paintsil dalam perjalanan pulang ke ibu kota Ghana, Accra, selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala Kebangsaan di Tarkwa.

Paintsil, yang kini merupakan penolong jurulatih pasukan kebangsaan Ghana berada dalam sebuah Toyota Land Cruiser bersama ketua jurulatih, Otto Addo, dan juga bersama jurulatih penjaga gol, Fatawu Dauda.

Kenderaan mereka bertembung dengan sebuah trak pikap di jalan pulang dari bandar Tarkwa, di barat daya Ghana.

SUV yang dipandu tersebut rosak teruk dengan bahagian sisi yang remuk dan beberapa roda yang tercabut. Ketiga-tiga jurulatih tersebut segera dikejarkan ke hospital di Takoradi untuk rawatan kecemasan.

Menurut kenyataan daripada Persatuan Bola Sepak Ghana (GFA), ketiga-tiga jurulatih kini berada dalam keadaan stabil namun akan menjalani pemeriksaan perubatan lanjut di Accra sebelum mempersiapkan pasukan kebangsaan untuk perlawanan akan datang menentang Angola dan Niger.

“GFA ingin mengesahkan bahawa beberapa anggota teknikal pasukan Ghana telah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika pulang dari Tarkwa.

“Kenderaan yang dinaiki oleh Ketua Jurulatih Otto Addo, Penolong Jurulatih John Paintsil, dan jurulatih penjaga gol Fatawu Dauda telah mengelak perlanggaran berdepan dengan sebuah trak pikap yang memasuki lorong mereka, menyebabkan kemalangan dan kerosakan pada kenderaan tersebut.

“Ketiga-tiga anggota pasukan teknikal berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani penilaian perubatan lanjut sebaik tiba di Accra,” menurut kenyataan tersebut.

Fulham menjadi pasukan disertai Paintsil selama tiga musim.

Paintsil membuat 19 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris bersama West Ham United sebelum, beliau menyertai Fulham dan menghabiskan tiga musim di kelab itu.

Paintsil beraksi sebanyak 75 kali dan membantu mereka mencapai kedudukan tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris pada tahun 2009.

Kemalangan ini telah mengejutkan dunia bola sepak, namun semua pihak bersyukur kerana ketiga-tiga jurulatih Black Stars berjaya selamat daripada insiden tersebut.