OLEH : MOHD FARIQ

HARI ini kita dikejutkan dengan pemergian bekas jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria, 60, yang telah dijemput ilahi selepas difahamkan menerima serangan jantung.

Ternyata perkhabaran ini sukar untuk ditelan penulis di mana personaliti Ismail bukan sahaja di mata media tetapi baik kawan mahupun lawan keperibadiannya sentiasa disegani.

Siapa yang tidak kenal seseorang bernama Ismail Zakaria yang pernah membimbing Selangor pada tahun 2000, telah memberikan kesan mendalam bola sepak negara?

Ismail mengambil alih Selangor daripada Mike Pejic pada pertengahan 1999 menjadi jurulatih Selangor sebelum Datuk K Rajagobal menjadi pengendali gergasi Merah Kuning.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi kepada FLASH SUKAN masih terkejut pemergian Ismail yang dianggap sebagai sahabat karib.

Satu kehilangan sebagai sahabat, rakan perjuangan dalam bola sepak. Saya terkejut menerima berita ini. Sebenarnya saya baru sahaja saya ada berhubung dengan Allahyarham dua minggu lepas. Saya ucap takziah kepada keluarga beliau.”

Sejak penulis mengenali Ismail pada tahun 1993, pengendali yang pernah membawa Sime Darby ke pentas final Piala FA 2012, sememangnya tidak pernah lokek dengan senyuman.

Banyak kejayaan peribadi yang dilakar oleh beliau bersama Sime Darby dan sudah pasti kehilangan Ismail pasti dirasai oleh seluruh peminat-peminat bola sepak tempatan.

Beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Unit Kejurulatihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sejujurnya sukar buat penulis menerima perkhabaran ini tetapi setiap pertemuan pasti ada perpisahan.

Apapun sama-sama sedekahkan Al Fatihah kepada Allahyarham dan setiap memori manis pahit penulis bersama Ismail sentiasa tersemat di dalam hati.

Hilangnya satu permata Liga Malaysia.