BEKAS kapten The Bos Gaurus, Shahrulnizam Mustapa sedih seandainya Perak FC dihalang daripada beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini gara-gara isu tunggakan gaji yang belum berkesudahan.
Sambil mengakui ada mendengar desas-desus hukuman dikenakan ke atas Perak FC, Shahrulnizam atau mesra dipanggil Arul berharap segala kemelut segera dicapai demi pembangunan bola sepak negeri itu sendiri.
“Saya sebenarnya nak cakap sedih dengan nasib dialami coach Yusri Che Lah. Dia datang ke sini niat nak bantu selamatkan pasukan dan menaikkan kembali Perak ke kancah liga utama.
“Sekarang terbalik pula dan bermacam-macam masalah yang kita dengari. Saya memang marah juga dan tak puas hati apa yang berlaku di peringkat atasan melibatkan IMC (Impact Media & Communication Sdn Bhd) dan kelab.
“Benda ini satu yang menyedihkan kalau berlaku sebab empat tahun lepas Perak adalah juara Piala Malaysia. Sebagai bekas pemain saya boleh rasakan seluruh peminat dan penyokong alami perasaan yang serupa,” katanya kepada Flash Sukan pada Sabtu.
Jelas Arul, isu yang berlarutan sehingga April berpunca sejak tahun lepas dan kini menyusahkan pasukan untuk melakukan persiapan membentuk skuad terbaik.
Malah, krisis yang berlanjutan itu memberi padah apabila Perak FC dipotong enam mata oleh badan bebas, First Instance Body (FIB).
“Tahun lepas ada masalah dan makin teruk jadinya. Dah la tak boleh daftar pemain baru macam senior seperti Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Ahmad Syamim Yahya. Pilihan pasti terhad untuk Yusri buat pertukaran jika ada pemain penat dan cedera.
“Masa lawan Kelantan FC tempoh hari hanya dua pemain simpanan dalam senarai,” ujarnya memuji inisiatif kelab penyokong yang membuat kutipan sumbangan bagi meringankan bebas ditanggung pemain muda Perak FC.
Portal ini pada Sabtu melaporkan beberapa kelab penyokong di laman sosial Perak FC mengambil inisiatif untuk membantu menghulurkan sumbangan derma bagi mengurangkan beban dialami para pemain selepas isu tunggakan gaji yang belum menemui titik noktah.
“Setahu saya pasukan utama ada bantuan dari rakan lain macam senior Wan Zack, Indra dan Syamim yang tolong budak-budak muda guna saving sendiri. Ini satu usaha yang wajar dipuji.
“Penyokong dan peminat setia cukup membantu dan saya salute kepada mereka ,” kata Arul lagi yang juga jurulatih skuad Piala Presiden Perak FC.