STEVEN Gerrard kini kembali menjadi jurulatih selepas menerima tawaran untuk melatih kelab Arab Saudi, Al Ettifaq.

Gerrard sebenarnya meminati Al Ettifaq beberapa minggu lalu, malah dijemput melawat ibu pejabat pasukan itu di Dammam, Arab Saudi.

Ketika itu, Gerrard menolak cadangan kontrak daripada Al Ettifaq tanpa sebab yang jelas. Namun, Al Ettifaq tidak berputus asa dan terus mendekati Gerrard.

Godaan itu membuahkan hasil apabila Gerrard akhirnya mengalah dan bersetuju menjadi jurulatih Al Ettifaq untuk musim 2023/2024.

Tidak dinyatakan berapa lama dan tempoh kontrak Gerrard. Bagaimanapun, Gerrard dikatakan telah dijanjikan dana perpindahan yang besar untuk menjadikan Al Ettifaq bersaing di tangga teratas dengan kelab ternama seperti Al Nassr, Al Hilal dan Al Ittihad.

Al Ettifaq menjadi kelab ketiga dalam karier Gerrard sebagai jurulatih selepas Rangers FC dan Aston Villa. Kejayaan membawa Rangers memenangi Liga Scotland, Gerrard kemudian gagal teruk di Villa.

Dia hanya bertahan kurang 12 bulan sebelum dipecat pada 20 Oktober tahun lalu selepas beberapa siri keputusan buruk pada permulaan musim 2022/2023. Gerrard mempunyai peratusan kemenangan sebanyak 59.2 daripada jumlah 233 perlawanan sebagai jurulatih.

Al Ettifaq musim lalu menduduki tempat ketujuh dengan perbezaan 35 mata daripada juara Al Ittihad. Mereka telah memecat jurulatih Patrice Carteron sejak Februari lalu dan melantik Antonio Cazorla sebagai caretaker.