BEKAS bintang Brazil, Frederico Chaves Guedes atau lebih dikenali sebagai Fred, menjadi mangsa rompakan bersenjata pada malam Khamis. Dia telah diarah keluar dari keretanya dengan diacukan senjata di kepala.
Kejadian di kawasan Ipanema yang terkenal di bandar Brazil itu berlaku selepas bekas penyerang itu meninggalkan Stadium Maracana di Rio de Janeiro berikutan kemenangan kelabnya menentang Sao Paulo dalam perlawanan Liga.
Pemain yang telah bersara Julai tahun lalu itu didapati masih tinggal di stadium untuk mesyuarat tidak rasmi dengan pemain dan pegawai kelab lain selepas kemenangan sebelum insiden malang itu berlaku.
Rakaman kamera litar telah menunjukkan tiga lelaki keluar dari sebuah kereta putih yang telah mengikuti Fred dan berlari ke arah keretanya sebelum memaksa Fred keluar dengan mengacukan senjata.
Dua lelaki lain yang menunggang motosikal kelihatan menunggu berhampiran untuk memerhati keadaan sekeliling.
Selepas ditarik keluar dari keretanya, Fred kelihatan berlari ke belakang sebatang pokok berdekatan dan berbaring di lantai dengan mukanya menghadap ke bawah.
Perompak terbabit telah mengambil telefon bimbit milik Fred, selain daripada kereta SUV mewahnya.
Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak polis dan tiada penangkapan dilaporkan.
Fred, 40, merupakan penjaring gol kedua tertinggi dalam sejarah Fluminense, dengan mencatat rekod 199 gol dalam semua pertandingan.
Antara pasukannya termasuklah Atletico Mineiro, Cruzeiro dan Lyon di Perancis, di mana dia membantu pasukan-pasukan tersebut memenangi tiga gelaran Ligue 1 berturut-turut.
Dia membuat debut untuk Brazil pada tahun 2005 dan terpilih untuk Piala Dunia 2006.
Terdahulu, penyerang itu menjadi salah satu pemain yang dikecam selepas Brazil gagal untuk memenangi kejohanan pada tahun 2014 selepas tewas 7-1 yang memalukan kepada Jerman dalam perlawanan separuh akhir.
Pada tahun 2020, dia menamatkan kayuhan amal sejauh 370 batu dari Belo Horizonte ke Rio sebelum kembali ke Fluminense untuk jangka masa kedua, di mana dia kemudian mencipta sejarah kelab dengan menjadi penjaring gol terbanyak kedua sepanjang masa.
Dengan matlamat untuk mengumpul dana untuk amal, syarikat yang menaja perjalanan Fred telah memberikan kit makanan untuk setiap kilometer yang dilaluinya. Hasilnya, sebanyak 4,000 bakul makanan berjaya diedarkan.