DIANGGARKAN lebih 100 guru, jurulatih mahupun mereka yang berminat menjadi jurulatih olahraga secara profesional, berpeluang mendapatkan kursus asas kejurulatihan secara formal, apabila Bengkel Kemahiran Asas Kejurulatihan dianjurkan di Stadium Ranau, Sabah,
Bengkel yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Jun ini, dianjurkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dengan kerjasama Persatuan Olahraga Amatur Sabah (POAS) itu dianggap tiba tepat pada masanya.
Presiden POAS, Mohamat Hassan berkata, saranan KOM mengadakan bengkel kejurulatihan di Ranau itu sememangnya dinanti-nantikan penggiat sukan di negeri itu.
Menurut Mohamat, perancangan Pengarah Kejurulatihan KOM, Robert Ballard membawa masuk dua jurulatih lompatan dan balingan iaitu dua bekas atlet Cuba, Jorge Luis Alfaro (lompat tinggi) dan Yunaika Crawford Roger (tukul besi) dan membawa mereka selama tiga hari di Sabah, amat dialu-alukan.
“Kita akan jemput guru mahupun jurulatih dari seluruh negeri Sabah, setidak-tidaknya 60 orang pasti datang, tetapi saya bimbang lebih dari 100 yang hadir nanti.
“Ini kerana di Sabah, kami memang menantikan kursus-kursus sebegini kerana ia terbuka kepada semua pihak, baik yang sudah memiliki sijil kejurulatihan mahupun belum,” kata Mohamat.
Menurut beliau, masyarakat Sabah amat mengalu-alukan program sedemikian.
“Selama ini saya sering bertanya kepada Datuk Mark Ling (Naib Presiden KOM), bila akan dianjurkan kursus kejurulatihan tahap 2, bila pula tahap 3 dan beliau janjikan kepada saya, bahawa akan membawa kursus itu ke Sabah, jadi apabila KOM menawarkan untuk menjalankan kursus di sini, kami gembira dan bersetuju.
“Kursus ini akan memberi peluang besar kepada para jurulatih dan atlet dari Sabah untuk meningkatkan kemahiran dalam acara lontaran dan lompatan dan ianya satu langkah penting dalam memajukan mutu sukan di negeri ini,” ujarnya.
Sabah sememangnya cukup terkenal sebagai negeri utama yang sentiasa membekalkan atlet olahraga kepada Malaysia di peringkat kebangsaan.
Malah kehadiran Jorge yang pernah melatih jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei sehingga ke Olimpik dan juga kehadiran pemenang pingat gangsa baling tukul besi Olimpik 2004, Yunaika mampu menjadi nilai tambah kepada kemajuan sukan olahraga Sabah.
Antara atlet olahraga kebangsaan dari Sabah yang masih sedang meningkat naik, Andre Anura Anuar (lompat Kijang); Nur Aishah Rofina Aling (100 dan 200 meter); Dexter Beddie, Hanssen Yap, Pangiran Aidil Auf Hajam dan Muhammad Khalil Helmi )100, 200, 400 dan 4×100 meter).