KAPTEN dan penjaga gol Filipina, Neil Etheridge telah membuat perpindahan ke kelab Liga 1 Thailand, Buriram United.

Penjaga gol berusia 34 tahun itu kini akan mewakili juara bertahan Thailand ketika mereka dalam usaha untuk memenangi kejuaraan ke-11 mereka musim akan datang.

Beliau yang juga pernah beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), akan menjadi rakan sepasukan kepada pemain skuad kebangsaan berdarah campuran Malaysia-Belgium iaitu Dion Cools di Buriram United.

“Ia satu penghormatan untuk berada di sini, di sebuah pasukan yang hebat ini,” kata Etheridge dalam hantatan Instagram.

Menerusi pengumuman itu juga, Etheridge yang berkelahiran England yang mempunyai darah Filipina itu diberikan jersi bernombor 13 untuk disarung sepanjang bersama skuad berjulukan Thunder Castle tersebut.

Etheridge pernah beraksi dalam kancah EPL bersama pasukan Cardiff City

Sebagai rekod, pengalaman Etheridge beraksi dalam kancah EPL hadir ketika bersama Cardiff City pada musim 2018-19 namun kelab itu disingkirkan ke saingan Liga Kejuaraan pada musim berikutnya selepas menamatkan musim di tempat ke-18.

Jodoh Etheridge bersama Cardiff City kekal sehingga ke musim berikutnya sebelum dia berhijrah menyertai Birmingham City yang juga merupakan kelab terakhir yang diwakilinya di England sebelum menyertai Buriram United.