BEKAS pemain pertahanan bola sepak kebangsaan dan Pahang, Salahuddin Che Rose, 53 meninggal dunia hari ini akibat masalah kesihatan.
Berita ini disahkan sendiri oleh anak perempuan Allahyarham, Farah Nadirah ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Sabtu.
“Jenazah dibawa di Hospital Kuala Lumpur dulu nak buat bedah siasat dengan Covid-19 test.
“Saya dimaklumkan bapa dah tiada kira-kira jam 9.10 pagi. Cuma kalau tengok pada ‘last seen‘ pada telefon arwah adalah jam 5 pagi tadi.
“Saya tak pasti dimanakah jenazah bapa akan dikebumikan. Pada awalnya di Sentul, tapi tadi petang dapat info dari sarjan polis diubah ke tanah perkuburan Shah Alam,” katanya.
Salahuddin anak kelahiran Bukit Mertajam disahkan menghidap penyakit jantung pada 2009 tetapi penyakitnya bertambah teruk sejak tiga tahun lalu sehingga memaksanya berhenti kerja setelah setahun bekerja sebagai buruh.
Akibatnya, bekas bintang negara pada 1990-an dan kapten skuad Projek Barcelona 1992, tidak dapat melakukan kerja kuat lagi kerana masalah jantung.
Ketika muda, Salahuddin adalah pemain pertahanan Pulau Pinang. Dia kemudian bermain untuk Pahang yang menyaksikannya dia mempunyai dua musim yang dianggap berjaya, termasuk menjulang Piala Malaysia 1992.
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Rose, meninggal dunia hari ini. Salam takziah dari Flash Sukan. pic.twitter.com/S03sn2AK9y
— Flash Sukan (@FlashSukan) December 17, 2022
Dalam pada itu, Farah Nadirah dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan jenazah bapanya masih berada di HKL.
“Saya nak confirmkan Insha Allah arwah akan dimandikan dikafankan disolatkan esok di Masjid Jami’ul Ehsan Kuala Lumpur. Pukul berapa akan dimaklumkan kemudian.
“Kemudian akan dibawa ke tanah perkuburan Islam USJ22 Subang Jaya selepas selesai semua.
“Doakan arwah papa ditempatkan dalam kalangan orang orang beriman. Al-fatihah,” katanya.