MEMANJAKAN, hujani dengan kata-kata pujian hanya akan merosakkan pemain badminton negara.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, beliau tidak akan berbuat demikian kerana yakin, jika pemain terlalu dimanjakan, akan memberi kesan kepada ketahanan mental mereka untuk tempoh jangka panjang.
Beliau berkata, sekiranya pemain terus ‘dibelai’ dengan kata-kata pujian meskipun menampilkan prestasi mengecewakan, ia bagai ‘membunuh’ karier mereka secara senyap.
Malah, beliau beranggapan bahawa setiap pemain wajar diberikan kritikan jika tidak mempamerkan aksi diharapkan kerana dengan cara itu, dapat mencetus kebangkitan.
“Kadang-kadang selepas tewas, orang sering cakap bangkit lebih kuat (comeback stronger) tetapi tidak tahulah bagaimana pemain tafsir perkara itu. Bukan saya tidak suka mengenainya tetapi kadang-kadang pemain perlu dikritik.
“Saya tidak mahu menjadi seorang jurulatih seperti ibu bapa yang sering cakap tidak mengapa kepada anak-anak walaupun lakukan perkara tidak baik. Kalau saya buat begitu, sebenarnya saya ‘bunuh’ mereka perlahan-lahan,” katanya, dalam sidang media di ABM, Bukit Kiara.
Pengendali dari Indonesia itu bagaimanapun tidak menyalahkan netizen yang kerap ‘membelai’ pemain meskipun sering mencatat keputusan kurang memberangsangkan dalam mana-mana kejohanan.
“Sampai bila kita nak manjakan? Kenapa boleh kritik jurulatih tetapi bukan pemain? Kita kritik pemain atas dasar sayang. Saya tidak salahkan netizen tetapi seperti saya cakap, kadang-kadang perlu keras sedikit.
“Sekiranya peminat sentiasa cakap tidak ada masalah walaupun aksi mengecewakan, mereka akan rasa selesa. Apa yang anda cakap setiap hari, itu yang akan beri kesan kepada mental mereka,” ujarnya.