PERSEKUTUAN Hoki Antarabangsa (FIH) menerusi mesyuarat secara maya bersama Pemangku Presiden, Seif Ahmad serta Badan Eksekutif FIH sebulat suara memilih Belgium dan Belanda sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia Hoki Lelaki dan Wanita 2026.
Acara yang bakal berlangsung serentak itu akan dijadualkan pada Julai atau Ogos 2026 di Amsterdam/Amstelveen, Netherlands dan Wavre, Belgium dengan pasukan lelaki dan wanita bermain di kedua-dua venue tersebut.
Bagi mendapatkan sokongan padu daripada peminat hoki tempatan, jadual perlawanan yang dicadangkan akan melibatkan pasukan tuan rumah satu perlawanan setiap hari.
The FIH Executive Board today selected Belgium and the Netherlands to jointly host the 2026 FIH Hockey Women’s and Men’s World Cups simultaneously. #HWC2026@hockeybe @oranjehockey
More details here 👇
— International Hockey Federation (@FIH_Hockey) November 3, 2022
Antara sebab dua negara ini dipilih sebagai tuan rumah adalah kerana mereka mempunyai asas kewangan yang kukuh termasuk sokongan daripada pihak penyiar tempatan dan juga prestasi atlet kedua-dua pasukan yang cemerlang.
Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil berkata ,dia gembira dengan bidaan yang ditawarkan dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan kedua-dua negara ini yang dijangka akan menjadi antara Piala Dunia terbaik dianjurkan.
“Bagi pihak FIH, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ‘National Associations’ yang telah menghantar bidaan. Kami menerima bidaan yang hebat dan ianya bukan sesuatu yang mudah untuk melakukan keputusan.
“Kami tidak sabar untuk berkerjasama dengan ‘National Associations’ Belgium dan Belanda yang pasti akan menganjurkan Piala Dunia Hoki terbaik dalam sejarah,” katanya selepas majlis pengumuman tuan rumah itu.
Belgium dan Belanda masing-masing adalah juara dunia dan naib juara hoki lelaki 2018 dengan Piala Dunia Hoki 2023 akan dianjurkan di Bhubaneswar dan Rourkela, India pada Januari 2023.