BELUM ada atlet olahraga remaja negara yang layak ke Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun (B-20), yang akan berlangsung di Lima, Peru 27 hingga 31 Ogos depan.

Pengesahan itu dibuat Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard, sekali gus meleraikan laporan media yang sebelum ini yang mengesahkan atlet 110 meter (m) lari berpagar lelaki negara sudah layak ke kejohanan di Lima itu.

Menurut Ballard, catatan dilakukan pelari Wilayah Persekutuan (Wipers KL), Muhammad Fiross Mohd Faizal 14.15 saat (s), sememangnya melepasi masa kelayakan untuk beraksi secara merit di Kejohanan Olahraga Dunia B-20, namun catatan itu dilakukan pada Super Series 1, Kejohanan Olahraga Terbuka Johor yang tidak diiktiraf badan olahraga dunia, World Athletics (WA).

Muhammad Fiross Mohd Faizal 14.15 saat (s) dalam acara 110m lari berpagar lelaki, pada Super Series 1, Kejohanan Olahraga Terbuka Johor, melepasi masa kelayakan Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di Lima, Peru, namun kejohanan pertama Super Series itu gagal mendapat sanction daripada World Athletics.

“Setakat ini belum ada atlet kita yang layak ke Kajohanan Remaja Dunia. Memang ada pelari di Johor kelmarin mencatat masa yang baik, melepasi masa kelayakan ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20, tapi malangnya kejohanan terbabit tidak mendapat sanction daripada WA, jadi catatannya tidak diambil kira,” kata Ballard, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mengiringi atlet remaja negara, berlepas ke Kejohanan Olahraga Asia B-20 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang akan berlangsung 24 hingga 27 April ini.

Untuk rekod, kejohanan dwi tahunan B-20 olahraga dunia itu menyaksikan, pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berjaya merakam rekod kebangsaan 10.09s dalam acara 100m pada edisi 2022 yang berlangsung di Cali, Columbia.

Sementara itu, beliau menganggap apa yang berlaku di Johor itu sebagai satu kejadian malang selepas atlet lari berpagar negara melakukan catatan yang baik.

Pengarah Teknikal Kejurulatihan KOM, Robert J Ballard mahu mengelakkan insiden sama berulang, dan mahu pastikan semua kejohanan Super Series mendapat sanction World Athletics sekali gus mengangkat kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Sebab itu untuk penganjuran Super Series  selepas ini (Sarawak, Pahang, Terengganu dan lain-lain), kita akan berkerja keras mendapatkan sanction daripada WA.

“Situasi sebegini sememangnya boleh terjadi tapi kita akan berusaha memastikan semua trek yang menganjurkan kejohanan benar-benar layak menepati piawaian WA. Kita juga akan mendapatkan maklumbalas daripada WA dua bulan sebelum kejohanan bermula, bagi membolehkan mereka mengiktiraf kejohanan.

“Untuk masa depan, saya mahu Super Series kita menjadi kejohanan antarabangsa,” ujar Ballard.

Pada Terbuka Johor yang menjadi siri 1 Super Series KOM, Muhammad Fiross meraih pingat emas 110m lari berpagar lelaki dengan masa 14.15s, menewaskan dua pelari Sekolah Sukan Negeri Johor (SSNJ) Muhd Harith Haikal Mohd Arshad dan Muhd Ikhwan Hissamudin untuk pingat perak dan gangsa, dengan masing-masing mencatatkan masa 14.28s dan 15.46s

Mengikut masa kelayakan ditetapkan WA untuk olahraga B-20, pelari 110m berpagar lelaki dan wanita perlu melepasi masa minima 14.20s.

Dalam pada itu, 12 atlet muda negara mengambil bahagian di Kejohanan Olahraga Asia di Dubai, diiringi lima jurulatih dan seorang pengurus pasukan.