SABAH FC memerlukan pertambahan dua lagi pemain import untuk memperkuarkan pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023 dan Piala AFC.

Ketika ini Sang Badak telah mengikat enam pemain import antaranya Saddil Ramdani (Indonesia),  Park Tae Su (Korea Selatan), Gabriel Peres dan Jailton Paraiba (Brazil), Telmo Castanheira (Portugal) serta Njoku Jacob (Nigeria)

Hasrat ini disuarakan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee  yang akan berbincang dengan pihak pengurusan Sabah FC untuk memohon kelulusan bagi menambah keperluan slot pemain import dalam tempoh terdekat.

“Kita akan serahkan kepada kebijaksanaan pihak pengurusan untuk membuat pertimbangan kelulusan berkaitan kuota yang lebih.

“Tetapi ini semua bergantung kepada keperluan serta kelulusan nanti apabila kita balik dari Bangkok. Kemungkinan kita perlukan seorang atau pun dua orang lagi pemain bagi memberi keseimbangan pada setiap posisi yang kita ada,” ujarnya.

Sabah FC ketika ini sedang menjalani aksi persahabatan dengan beberapa kelab di Thailand.

Mengulas kesebelasan utama pasukan,  Kim Swee memaklumkan secara keseluruhan masih lagi terlalu awal untuk mengenalpasti kesebelasan utama dalam pasukan Sabah FC.

“Tetapi dengan apa yang kita akan lalui pada musim ini terutamanya banyak perlawanan Liga, Piala Malaysia, Piala FA serta termasuk Piala AFC.

“Saya jangkakan kita harus mempunyai bukan sahaja kesebelasan utama tetapi kesemua pemain yang kita daftarkan boleh bermain pada bila-bila masa nanti,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan perlawanan persahabatan di Thailand baru-baru ini, Kim Swee berkata, ia seperti dalam perancangan serta semua pemain diberikan peluang untuk beraksi baik pemain tempatan yang baharu mahupun pemain import.

“Apa yang penting di sini kita dapat menilai daripada segi kekuatan serta kelemahan kita apabila mengadakan siri perlawanan persahabatan sebelum musim bermula.

“Ini adalah untuk memastikan kita mengenalpasti segala kelebihan serta kekurangan yang perlu kita perbaiki dalm tempoh terdekat,” katanya.