JURULATIH Terengganu FC, Muhammad Nafuzi Mohd Zain mengakui keseluruhan pemain kendaliannya memiliki mental yang kuat meskipun bermain dalam keadaan sedikit tertekan.
Jelasnya, sejurus selepas gol pertama berjaya dihasilkan Kuala Lumpur City FC, Terengganu dilihat agak tertekan namun keadaan mental pemain yang kebal menyaksikan mereka lebih unggul mengatasi tuan rumah.
“Kita bermain dalam keadaan tekanan sedikit. Bertemu dengan Kuala Lumpur, saya lihat mental pemain kuatlah malam ini.
“Kita dapat menyerap tekanan dari Kuala Lumpur dari awal minit. Saya rasa pada separuh masa pertama kita dapat mengawal.
“Selepas 2-1, kita bermain dalam tekanan namun kita berjaya mengutip tiga mata. Itu yang lebih penting,” ujarnya ketika ditemui dalam sidang media selepas tamat perlawanan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Mengulas tentang aksi Piala Malaysia yang bakal dilangsungkan tidak lama lagi, Nafuzi menegaskan dia tidak begitu memikirkan tentang lawan yang bakal ditemui sebaliknya hanya fokus kepada misi utamanya untuk melayakkan diri ke Piala AFC terlebih dahulu.
“Saya tidak kisah pun mana-mana diletakkan dalam Piala Malaysia ini. Yang paling penting sasaran saya adalah layak ke Piala AFC.
“Bagi saya kalau kita layak ke Piala AFC ia adalah pencapaian dan kejayaan untuk pasukan Terengganu. Kita fokus ini dahulu daripada kita memikirkan perkara yang kita tidak ketahui lagi.
“Bagi saya, saya tidak bergantung kepada pasukan lain untuk tewas. Yang penting pasukan kita menang. Itu paling penting,” katanya.
📹 HIGHLIGHTS: @klcityfootball 1-2 @FCTerengganu
Manuel Ott dan Tchetche Kipre meletakkan Terengganu 2-0 di hadapan sebelum Romel Morales merapatkan kedudukan buat KL City.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/oxSCWpPagu
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) October 11, 2022
Selain itu, aksi Faisal Halim di dalam padang juga mencuri tumpuan apabila dia kelihatan seperti tidak berpuas hati dengan keputusan jurulatih Terengganu FC, Muhammad Nafuzi Mohd Zain yang mengeluarkannya di babak kedua.
“Saya pun tidak pasti apa yang berlaku di dalam padang tetapi ia adalah perkara yang normal.
“Dalam keadaan yang ada tekanan, ia perkara kecil sahaja, tidak ada beri kesan apa-apa.
“Saya pun sebagai jurulatih ada emosi juga. Di luar padang pun saya ada emosi juga, tetapi lepas sudah habis itu habislah,” jelasnya.