KEJUTAN berlaku di kem Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mengumumkan berpisah dengan Ketua Jurulatih, Benjamin Mora ekoran masalah yang tidak dapat dielakkan oleh pelatih dari Mexico itu.

Menerusi kenyataan rasmi yang disiarkan di laman sosial rasmi kelab JOHOR Southern Tigers, JDT berterima kasih atas jasa yang ditunjukkan dan mengalu-alukan kedatangannya semula pada masa akan datang.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengumumkan bahawa ketua jurulatih Benjamin Mora telah meminta untuk berehat panjang bagi membenarkan beliau pulang ke Mexico untuk menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan dan JDT telah menghormati permintaan tersebut dan akan membiarkan pintu sentiasa terbuka untuk beliau kembali pada masa akan datang.

“Benjamin merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

“Benjamin telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan.

“Terima kasih, Benjamin. Anda akan selamanya menjadi sebahagian daripada Keluarga JDT. Jumpa lagi,” tulis kenyataan media itu.

Dikala JDT masih kekal dengan rekod tanpa kalah dan bakal beraksi di peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) berita ini pastinya memeranjatkan dan siapakah yang bakal menjadi jurulatih JDT yang baharu.