BEKAS ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) atas tunjuk ajar yang diberikan sepanjang dia bergelar jurulatih di kelab itu.

Mora menerusi hantaran di laman Instastory miliknya turut berterima kasih kepada semua penyokong JDT terutama Boys of Straits (BOS) yang sentiasa menjadi nadi kepada pasukannya di kala senang ataupun susah.

Jurulatih kelahiran Mexico itu juga turut memuat naik gambarnya bersama bayangan harimau yang menjadi simbol kelab JDT dengan tulisan ‘See You Again Johor‘!

“Menjunjung kasih yang tidak terhingga buat DYAM TMJ. Saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk menunjukkan tanda terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk berkembang menjadi pengurus, lelaki, bapa dan juga seorang professional.

“Anda sampai bila-bila pun akan tetap menjadi mentor dalam bola sepak dan kehidupan saya. Anda telah mengajar saya untuk menjadi insan yang lebih baik. Kita akan berjumpa lagi, Bos dan juga Jeneral saya. Allah Peliharakan Sultan, keluarga dan negeri Johor. Saya sentiasa sayangkan anda,” tulis Mora kepada TMJ.

Sementara itu dalam nota kepada para penyokong pula, juara sembilan piala domestik itu menulis “Kepada semua penyokong setia yang hebat dan mereka yang percaya, Boys of Straits (BOS), jutaan terima kasih atas segala perkara yang baik mahupun buruk. Anda adalah nadi dalam perjalanan kelab ini.

“Terima kasih kerana percaya yang kita mampu lakukannya dan memberikan saya segala tanda penghargaan, saya tinggalkan anda hati saya dan mengucapkan selamat maju jaya dan sentiasa gembira dalam setiap perlawanan dan pertandingan! Sampai berjumpa lagi!”, luah Mora.

Benjamin Mora meninggalkan JDT atas urusan peribadi selepas membimbing Harimau Selatan selama lima tahun dan mempunyai rekod 148 permainan dengan 102 kemenangan, 24 seri dan hanya 22 kekalahan.

Mucha gracias Senõr Mora.