BENNS Chocolate Factory melancarkan produk baharu iaitu Coklat Benns yang menggunakan 100 peratus buatan Malaysia dan dibekalkan secara langsung daripada petani koko tempatan.

Pengarah Urusannya, Wilfred Ng berkata, Benns Chocolate Factory menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Koko Malaysia (LKM) disamping menyasarkan produk coklat yang mampu menguasai pasaran di dalam Malaysia sekaligus menarik minat penggemar manisan itu.

“Benns Chocolate berganding bahu dengan LKM melalui satu kerjasama yang harmoni dan dapat memperkukuhkan lagi industri koko dalam negara.

“Kerjasama ini juga sebagai tanda sokongan kepada petani koko yang telah menghasilkan masa depan yang mampan untuk industri Malaysia,” katanya dalam majlis pelancaran baru-baru ini.

Wilfred Ng ketika berucap di majlis pelancaran.

Turut dijemput bagi melancarkan produk baharu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, beliau berbesar hati dengan kerjasama yang terjalin antara agensi kerajaan dan pihak swasta seperti Benns Chocolate Factory.

Ujarnya, usaha LKM yang kini giat mempromosikan pengeluaran coklat premium dilihat berkesan dan menegaskan agar usaha tersebut akan diteruskan dalam melahirkan lebih ramai usahawan coklat tempatan.

Datuk Siti Aminah Aching

“Melalui kerjasama LKM dan Benns Chocolate Factory Sdn Bhd, syarikat ini secara langsung telah membantu menaikkan taraf hidup para petani koko tempatan dengan membeli biji koko pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Dengan initiatif seperti ini dan bekerjasama secara langsung secara konsiten bersama petani koko diharapkan dapat menyelesaikan isu bekalan biji koko sekaligus akan meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan terutamanya bagi memenuhi sasaran Malaysia sebagai negara pengeluar biji koko berperisa unggul dan unik,” kata beliau dalam majlis pelancaran kilang coklat tersebut.

Dalam masa yang sama, Aminah menambah, sektor pembuatan coklat menjadi salah satu penyumbang utama kepada sektor hiliran industri koko apabila hasil mengeksport koko meningkat sebanyak 13 peratus iaitu RM7.8 bilion pada 2022 berbeza pada tahun 2021 iaitu RM6.8 bilion.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac 2023, perolehan eksport coklat juga telah meningkat sebanyak 30 peratus iaitu kepada RM387.7 juta berbanding RM297.9 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Pada tahun ini, sasaran pendapatan eksport adalah RM8.0 bilion. Produk-produk yang dieksport adalah bahan separa siap seperti lemak koko, serbuk koko serta produk coklat,” ujarnya.

Selepas pelancaran, pihak Benns Factory membawa Aminah serta kumpulan media melawat premis pembuatan coklat dan menyaksikan sendiri peralatan pemprosesan coklat yang menggunakan konsep terbuka bagi pengeluaran coklat bean-to-bar iaitu pemprosesan dari biji koko sehingga menjadi coklat.

Maklumat tambahan, sektor pembuatan coklat  merupakan salah satu penyumbang utama kepada sektor hiliran industri koko.  Perolehan eksport koko pada tahun 2022 meningkat sebanyak 13 peratus iaitu RM7.8 bilion berbanding RM6.8 bilion pada tahun 2021.  Bagi tempoh Januari hingga Mac 2023, perolehan eksport coklat juga telah meningkat sebanyak 30 peratus iaitu kepada RM387.7 juta berbanding RM297.9 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Produk Benns Chocolate Factory

Pada tahun ini, sasaran pendapatan eksport adalah RM8.0 bilion.  Produk-produk yang dieksport adalah bahan separa siap seperti lemak koko, serbuk koko serta produk coklat Bagi memastikan kilang pengisar koko tempatan terus beroperasi, bekalan biji koko perlu mencukupi dan pada masa kini lebih 90 peratus adalah biji koko yang diimport.  Oleh itu, program seperti Hab Perdagangan Koko di Negeri Johor telah dilancarkan pada tahun lalu bagi memudahkan urusan pengimportan biji koko kering.

Bagi meluaskan lagi tanaman koko dalam negara, LKM akan melaksanakan projek Tanaman Baharu 2023 dengan sasaran keluasan 200 hektar di seluruh negara, iaitu 100 hektar adalah di Sabah, 80 hektar di Sarawak dan 20 hektar di Semenanjung.  Keluasan tanaman koko negara setakat ini adalah 5,985 hektar.

LKM turut mengalakkan tanaman secara skala besar seperti kerjasama pembangunan kawasan tanaman koko bersama agensi-agensi kerajaan dan beberapa kerjasama berpotensi dengan syarikat swasta perladangan.