KELAB Selangor FC menambah kekuatan di bahagian benteng apabila mengumumkan kehadiran pemain muda Jordan, Mohammad Abualnadi untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 musim 2024-25.
Pemain kelahiran Jordan-Amerika ini memulakan karier bersama Kansas Academy ketika berusia 18 tahun dan beraksi di Amerika selama lima musim dalam US Open Cup bersama skuad utama Sporting Kansas City, MLS Next Pro dan USL Championship bersama Sporting Kansas City II.
Abualnadi juga sempat beraksi dalam 11 perlawanan sebagai pemain muda sebelum menerima tawaran untuk bermain di Jordan bersama kelab Al-Hussein SC.
Pemain kelahiran 2001 ini juga adalah pemain kebangsaan Jordan yang telah beraksi bersama skuad bawah 23 tahun dalam Kejohanan West Asian Football Federation B23, Pusingan Kelayakan AFC Piala Asia B23 dan Kejohanan AFC B23 dan berjaya menjaringkan tiga gol dalam tujuh penampilan.
Musim 2024 menjadi batu loncatan bagi pemain berketinggan 185cm ini apabila menerima panggilan kebangsaan bagi kem latihan pada bulan Julai sebelum membuat penampilan pertamanya bersama skuad utama Jordan ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang Korea Utara pada 23 Ogos.
Dia juga diletakkan dalam senarai pemain ketika dua perlawanan kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kuwait dan Palestin di Kuala Lumpur pada awal September 2024.
“Secara jujurnya, saya gembira dapat menyertai Selangor FC. Saya berasa terinspirasi untuk menyertai pasukan ini kerana sejarah yang dimiliki dan para peminat yang penuh semangat memberi sokongan dalam setiap perlawanan dan saya tahu bahawa inilah tempat yang tepat untuk saya.”
“Saya akan berikan segalanya untuk pasukan. Tidak dinafikan, menyarung jersi ini bukanlah satu perkara yang mudah tetapi saya bersedia menghadapinya dan membantu rakan sepasukan dalam mencapai matlamat kami di sini.
“Saya juga amat teruja untuk merasai sokongan padu daripada para penyokong Gergasi Merah dan saya berharap dapat membanggakan mereka dalam mencapai kejayaan musim ini,” katanya.
Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil turut menyatakan keyakinan terhadap penambahan pemain di bahagian kiri pasukan untuk membantu Gergasi Merah terutamanya di kejohanan Asia.
“Sebagai jurulatih, saya percaya bahawa dia akan menjadi aset yang berharga buat pasukan sebagai pemain pertahanan dan pemain sayap di bahagian kiri serta melihat potensinya untuk memperkukuh dinamik barisan pertahanan, terutamanya dalam menghadapi kejohanan ACL 2,” jelasnya.
Abualnadi akan menyarung jersi nombor tiga dan dijangka akan melakukan debut ketika bertemu Terengganu FC di Gong Badak sebelum diperkenalkan kepada para penyokong sendiri ketika aksi bertemu Dynamic Herb Cebu di Stadium MBPJ pada 3 Oktober 2024.