FOTO KREDIT : BERNAMA


FAISAL
Abdul Halim selamat menjalani pembedahan terakhir (keempat) dan diberi lampu hijau oleh pihak hospital untuk keluar hospital pada minggu ini juga.

Pembedahan split skin grafting (SSG) merupakan prosedur terakhir buat Faisal Halim dan ia memakan masa dalam enam jam untuk siap proses pembedahan yang dijalankan pada Isnin lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar lega kerana pembedahan keempat itu telah berjalan dengan lancar. Oleh itu, pihak pakar akan melakukan pemantauan terhadap kondisi Faisal pada hari esok sekali gus memastikan dia ‘discharge‘ pada minggu ini juga.

“Tadi saya berjumpa dengan Faisal, dia menunjukkan perkembangan sangat positif. Insya Allah saya yakin dalam masa beberapa hari ini dia boleh keluar hospital. Kita sama-sama doakan.

“Cuma pembedahan keempat ini adalah yang ‘major’, jadi pergerakan dia agak terbatas daripada sebelum pembedahan ini berlaku. Tetapi dalam masa beberapa hari lagi, dia pasti akan kembali okay,” ujar Shahril ketika ditemui di hospital.

Dalam perkembangan sama, Shahril turut mendedahkan bahawa selera makan Faisal semakin baik minggu ini, dan itu menunjukkan perkembangan positif selepas berat badannya turun beberapa kilogram.

“Tak silap saya, berat badan dia turun dalam tiga hingga empat kilogram, minggu ini baru dia ada selera makan dan naik semula satu kilogram. Dia perlu bina otot semula dalam tempoh tiga enam bulan sementara menunggu masa dapat kembali ke padang.

“Jadi dia akan menjalani beberapa program yang dibuat nanti,” tambahnya.