KIRA-KIRA 1,500 peserta dijangka memeriahkan acara Taiping 150 Ride 2024, yang menjadi salah satu acara utama sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Acara berbasikal yang kali pertama dianjurkan sempena menyambut ulang tahun ke-150 Bandar Taiping itu, bakal berlangsung pada 8 Disember depan.

Acara itu akan bermula dan berakhir di Taman Tasik Taiping yang ikonik, dengan pelepasan dijadualkan pada jam 6.45 pagi. Para peserta akan melalui laluan berbasikal yang unik dan mencabar, melintasi kawasan desa indah di Perak termasuk Sepetang, Simpang Empat, dan Kamunting, sambil menikmati keindahan alam dan suasana yang damai.

Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh hadir pada sidang media dan sesi memperkenalkan penaja untuk saingan Taiping 150 Ride 2024 yabg bakal berlangsung 8 Disember depan.

Menurut Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh, Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn Bhd sebagai penganjur bersama, komited untuk menjayakan acara ini.

“Acara ini bukan sahaja bertujuan merapatkan komuniti, tetapi juga mempromosikan Taiping sebagai destinasi berbasikal yang menarik. Kami mengalu-alukan penyertaan daripada semua yang ingin merasai pengalaman yang unik ini,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pendidikan.

Taiping 150 Ride menawarkan dua kategori utama iaitu 90km dan 60km, serta kategori kayuhan santai sejauh 20km yang dibuka kepada orang awam.

Dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, pendaftaran bagi pelajar berumur 7 hingga 17 tahun untuk semua kategori adalah percuma. Sokongan ini bertujuan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti sihat dan memberi pendedahan kepada sukan berbasikal, yang turut menyumbang kepada pembangunan fizikal dan sosial mereka.