KETIKA Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) terus berteka-teki, jaguh pecut 100 meter (m) lelaki negara, Muhammad Azeem Fahmi mahu kekal tenang dan bersedia sekiranya dapat beraksi ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang bermula 26 Julai ini, jika tiket wild card diberi kepadanya.
KOM dijangka mengumumkan keputusan itu esok, antara Azeem dan juga jaguh 400m wanita, Shereen Samson Vallaboiy.
Meskipun menyuarakan keinginan untuk beraksi di pentas tertinggi dunia, namun atlet berusia 20 tahun itu sedia menerima apa jua keputusan yang bakal dibuat KOM berhubung tiket wildcard berkenaan.
“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, walaupun berbagai-bagai perkara bermain di fikiran. Apa sahaja keputusan, saya akan akur dan bersyukur dengan keadaan, mungkin ada sebab tertentu mengapa saya tidak berjaya lakukan apa-apa tahun ini.
“Kalau ada peluang untuk beraksi di Olimpik, sudah tentu saya akan berusaha lebih keras. Jika tidak dapat (ke Olimpik), saya akan berikan fokus ke arah temasya Sukma (Sukan Malaysia) nanti,” kata atlet yang berpangkalan di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) itu.
Dalam pada itu, di final 100m Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 yang berlangsung di Lapangan Atletik Universitas Negeri Surabaya (Unesa), Azeem sekadar meraih perak menerusi catatan masa 10.37 saat (s) yang menyaksikan jaguh tuan rumah, Lalu Muhamad Zohri meraih emas dengan catatan 10.19s, manakala gangsa milik seorang lagi pelari Indonesia, Jaelani Fatah Sidik dengan catatan masa 10.59s.
“Hari ini, saya lakukan larian yang baik tetapi bukan aksi terbaik. Syukur kerana dapat tamatkan saingan di kedudukan podium walaupun itu bukanlah apa yang disasarkan kerana saya mahu hadiahkan emas untuk Malaysia.
“Rezeki hari ini mungkin untuk pingat perak sahaja. InsyaAllah saya nak bawa aksi positif ini untuk acara 4x100m dan 200m nanti,” ujar Fahmi.