HANYA satu daripada lima wakil negara beraksi di separuh akhir badminton Sukan Sea Kemboja, lolos ke final esok.

Gandingan beregu campuran Yap Roy King-Cheng Su Yin, beraksi cemerlang menewaskan pilihan dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong 23-22, 23-27, 21-19, menempah pertemuan dengan pilihan utama dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati.

Berdasarkan ranking, gandingan Indonesia itu terlalu kebal untuk diatasi kerana berada di ranking ke-10 dunia ketika ini, berbanding gandingan negara, selain muda dan cetek pengalaman, hanya mula digandingkan di temasya ini.

Yap Roy King-Cheng Su Yin menjadi sandaran terakhir badminton negara untuk memburu pingat emas di bumi Phnom Penh.

Sementara itu, harapan untuk melihat sekurang-kurangnya satu wakil perseorangan lelaki ke final tidak kesampaian apabila Leong Jun Hao dan Lee Shun Yang kecundang di tangan dua pemain Indonesia.

Jun Hao berdepan pemain ranking ke-59 dunia, Christian Adinata, bagai tiada jawapan kepada setiap percaturan permainan yang dijelmakan lawan, malah gerakannya juga seakan sudah dihidu Christian.

“Memang dia memaksa saya melakukan kesilapan… ketika didesak, saya perlu cepat tukar rentak permainan tapi tak menjadi.

“Apa yang saya rancang tak sesuai dan dia sudah dapat membaca permainan saya,” kata Jun Hao yang menghuni ranking ke-64 dunia.

Leong Jun Hao tidak mampu saingi Christian Adinata.

Pada perlawanan itu, tunduk 19-21, 12-21.

Mengikut jejaknya tersingkir di separuh akhir, Shun Yang.

Perbezaan besar jurang Shun Yang yang berada di ranking ke-95 dunia menentang Chico Aura Dwi Wardoyo (19) begitu ketara, biarpun pemain negara cuba memberi tentangan, apabila pemain negara tunduk 15-21, 18-21.

Turut kandas dua beregu wanita, gandingan kembar Cheng Su Hui-Su yin dan Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan.

Su Hui-Su Yin tewas kepada Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose dari Indonesia 10-21, 17-21, manakala Xin Jie-Yeen Yuan tewas kepada Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Chaya Pratiwi (Indonesia) 9-21, 9-21.