MALANG menimpa beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi apabila dia dan gandingannya Ong Yew Sin terpaksa menarik diri dari Terbuka India, selepas kegagalan Ee Yi mendapatkan visa kemasukan sah.
Perkara itu dikongsi Ee Yi menerusi Instastory miliknya “ee_yi_111”.
Menurut perkongsiannya, dia kini dalam pesawat pulang ke tanah air meskipun baru tiba di lapangan terbang di India.
“Sebab sendiri punya mistake, salah apply E-visa pkai (pakai) passport lama. So skrg (sekarang) xboleh (tak boleh) msok (masuk) India, diorang (mereka) ckp (cakap) nk (nak) hantar sy (saya) balik.
“Skrg (sekarang) trying buat emergency visa, kalo (kalau) xboleh thhen terpaksa withdraw India Open,” kata Ee Yi pada perkongsian pertama Instastorynya kira-kira empat jam lalu.
Namun 49 minit lalu, dia berkongsi, “First of all thank you so much to Malaysia Embassy for helping me and of course to who’s helping me and worry about me.
“Unfortunately that’s nothing we can do, they decided to send me home and now I’m already in the flight. Sorry gaisss (guy’s) that was my mistake and last I have to withdraw for India Open.”
Situasi ini pasti merugikan Ee Yi-Yew Sin yang memburu slot kelayakan ke Sukan Olimpik Paris Julai depan, kerana kedudukan mereka belum selamat kerana hanya lapan pasangan terbaik dunia boleh membariskan dua pemain beregu ke temasya itu.
Ketika ini, Ee Yi-Yew Sin berada di kedudukan ke-11 perlumbaan kelayakan Paris 2024 dan ketinggalan kira-kira 20,000 mata di belakang pasangan kelapan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Kejohanan pertama tahun ini iaitu Terbuka Malaysia yang baru melabuhkan tirainya, Ee Yi-Yew Sin beraksi hingga ke suku akhir selepas tewas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dan kedua-dua pasangan dijadual bertemu seawal pusingan pertama di Terbuka India, yang bertaraf Super 750.
Pada tahun lalu, gandingan terbabit mara ke suku akhir Terbuka Malaysia dan Terbuka India, dan kegagalan beraksi di India pastinya turut menjejaskan kedudukan mereka di ranking ke-12 dunia ketika ini.