BEREGU ranking ke-9 dunia, Anders Skaarup Rasmussen-Kim Astrup meletakkan sasaran merangkul gelaran Super 500 dalam masa yang terdekat.
Bintang Denmark itu mengakui perlawanan pertama mereka pada saingan Terbuka Malaysia 2022 bertemu gandingan dari Korea Selatan merupakan sesuatu yang agak mencabar namun yakin mempunyai ‘rasa’ bahawa mereka akan menang kali ini.
“Mungkin menang Super 500, ia adalah peluang terbaik untuk melakukakannya. Kita harap kita dapat memberikan aksi yang terbaik.
“Kami jangkakan perlawanan yang sukar tetapi statistik menunjukkan semakin banyak kami bermain, semakin meningkat permainan kami. Saya ada firasat yang baik kita akan menang tetapi ia bergantung.
“Kami berada pada momentum terbaik dan kita akan menunjukkannya semasa Terbuka Malaysia,” jelasnya kepada media.
Bagaimanapun, dia agak terpukau dengan perubahan suasana persekitaran Terbuka Malaysia kali ini setelah berehat selama hampir tiga tahun ekoran pandemik Covid-19.
Keadaan angin dan penggunaan pendingin hawa juga sedikit sebanyak mengganggu pukulan bola ke pihak lawan dengan kelajuan yang agak tinggi dan pemain perlu menyesuaikan diri dalam masa yang terdekat.
“Kami agak terkejut dengan perubahan yang ada sekarang, tetapi kita harap ianya akan berubah apabila telah siap sepenuhnya dengan penonton.
“Ia agak sukar dengan dua gelanggang yang kami cuba sebelum ini. Kita telah kembali ke Malaysia untuk tempoh lebih kurang tiga tahun. Peminat sudah teruja untuk kembali menyaksikan perlawanan badminton.
“Kita harapkan penyokong menikmati aksi badminton dan ia amat bagus apabila penyokong terus bersorak dengan kuat,” ujar gandingan Denmark itu.
Tahun 2019 merupakan mimpi ngeri buat mereka apabila permainan mereka dikatakan sangat hambar. Namun, mereka berjaya mengorak langkah mempamerkan prestasi terbaik sehingga berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Selain itu, mereka juga berharap penganjur dapat menyusun kalendar kejohanan agar tidak terlalu padat buat para pemain beraksi di setiap kejohanan.