TONGGAK utama Johor Darul Ta’zim (JDT) Bergson da Silva masih belum selesa dengan pencapaian peribadinya meskipun cemerlang sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2024-2025 untuk setakat ini.
Pemain kelahiran Brazil itu tetap menekankan bahawa yang lebih penting baginya ialah keputusan perlawanan, bukan sekadar bilangan gol peribadi.
Selepas 12 perlawanan liga, Bergson telah mencatatkan 16 gol, satu bukti kualiti dan ancamannya kepada pasukan lawan. Dalam perlawanan menentang Selangor FC semalam, dua jaringan daripadanya membantu JDT meraih kemenangan 3-0.
“Saya sangat gembira dapat menghadiahkan kemenangan ini kepada pasukan kerana kami semua bekerja keras untuk terus berada di puncak.
Namun, bagi saya, bilangan gol hanyalah keutamaan kedua kerana yang paling penting ialah kejayaan JDT dalam setiap perlawanan, dan saya bersyukur dapat membantu,” katanya.
Bergson turut mengakui bahawa perlawanan menentang Selangor bukanlah mudah, memandangkan pasukan itu mempunyai pemain berkualiti dan pertahanan yang sukar ditembusi.
“Selangor sentiasa menjadi pesaing kuat, namun hari ini kita buktikan kita masih di atas dalam saingan Liga Super,” tambahnya.