PENGGEMPUR sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva dilihat mungkin memberi pembayang kehadiran Esteban Pavez bagi menyarung jersi Harimau Selatan dalam aksi liga musim hadapan.

Biarpun kehadiran Pavez ke JDT menjadi tanda tanya di kalangan penyokong JDT, namun Bergson da Silva seperti mengiyakan kemasukan Pavez menerusi hantaran di story laman Instagram rasminya yang hanya akan sempat ditonton dalam masa 24 jam.

Hantaran di laman story Instagram penyerang import JDT, Bergson Da Silva.

Perpindahan itu semakin bertiup kencang apabila Bergson menyarung jersi yang tertera nama Pavez di belakang jersinya.

Arkitek tengah Chile ini bukanlah asing dalam dunia bola sepak dengan telah membuat lapan penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Chile.

Sebelum ini Pavez pernah berkelana ke benua Asia untuk beraksi bersama Al-Nasr di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekitar tahun 2019 dan 2020.

Jika benar spekulasi tersebut, ia bermakna ini merupakan kali kedua dia berkelana ke Asia.

Pemain pasukan kebangsaan Chile dan Kelab Colo-Colo, Esteban Pavez.

Dengan kesemua pasukan Liga Super dibenarkan mendaftar sembilan pemain import musim hadapan, maka adalah tidak mustahil untuk JDT menandatangani pemain ini.

Kali terakhir Pavez menyarung jersi pasukan kebangsaan Chile adalah pada 20 November yang lalu dalam aksi persahabatan menentang Slovenia.

Untuk rekod, Bergson dan Pavez pernah beraksi bersama ketika kedua-dua mereka menyarung jersi Athletico Paranaense sekitar tahun 2018 sebelum membawa haluan masing-masing.