PENYERANG berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva kekal di tangga kedua senarai penjaring terbanyak Liga Juara-Juara AFC Zon Timur dibelakang penyerang Daegu FC, Zeca selepas selesai peringkat separuh akhir.

Bergson menjaringkan enam gol daripada lima penampilan musim ini sekaligus berjaya menebus kehampaan di kempen ACL 2021 apabila gagal menjaringkan sebarang gol ketika beraksi di Thailand.

Dengan bantuan daripada rakan sepasukan, Bergson membuktikan kemampuan dengan meledak hatrik pada perlawanan pertama menentang kelab China, Guangzhou FC sebelum menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Ulsan Hyundai.

 

Dia gagal menjaringkan gol pada aksi berikutnya menentang Kawasaki Frontale dan tidak diturunkan pada perlawanan kedua menentang kelab Jepun itu atas alasan penggiliran pemain yang dilakukan.

Pemain berusia 31 tahun itu kembali dalam skuad menentang Guangzhou FC dan berjaya menjaringkan dua penalti untuk muncul penjaring terbanyak buat JDT dalam peringkat kumpulan serta membantu Harimau Selatan layak ke peringkat kalah mati buat pertama kali.

 

Perjuangan JDT di ACL tersekat di peringkat 16 terbaik apabila tewas kepada finalis musim ini, Urawa Red Diamonds dalam aksi di Stadium Saitama, Jepun namun nama Bergson kekal dalam senarai penjaring terbanyak.

Rekod enam jaringan ini masih mampu dipintas oleh tiga pemain Urawa Red Diamonds Yusuke Mitsuo juga dengan enam gol, David Moberg Karlsson, lima gol manakala Kasper Junker dengan empat gol kerana Urawa layak ke final pada Februari 2023.