PELEDAK berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva tidak menjangka bahawa dirinya mendapat peluang untuk memberi jaringan penalti pada perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) bertemu BG Pathum United pada Selasa.
Menurut pemain yang kini genap mengumpul 106 gol bersama pasukannya, sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang telah digunakan di Stadium Sultan Ibrahim buat kali pertamanya tersebut telah menjadi punca bantuan untuk mendapatkan penalti.
Bergson turut menjelaskan bahawa jaringan pertamanya pada minit ke-55 itu telah mengembalikan semula momentum permainan dan karakter sebenar JDT untuk terus mendominasi perlawanan pada separuh masa kedua.
“Walau apapun, kami semua agak terkejut ketika diberikan penalti kerana saya menghantar bola di dalam kawasan penalti dengan keadaan menutup mata jadi saya tidak nampak sama ada pemain pihak lawan ada menyentuh bola menggunakan tangan atau tidak.
“Tetapi sistem VAR telah menunjukkan dengan jelas bahawa pemain BG Pathum telah menyentuh bola guna tangan jadi kami gembira dengan situasi ketika itu dan terus menunjukkan katakter yang sepatutnya ditunjuk pada separuh masa kedua.
“Saya juga pada awalnya bersama JDT, tidak pernah terbayang untuk mendapat kejayaan berterusan seperti ini dan ketika pada tahap melalui pelbagai peristiwa penting di pasukan ini, saya cuba untuk teruskan perkara itu.
“Motivasi saya ketika ini hanya ada dua perkara iaitu perlu menang dalam perlawanan dan harus menunjukkan kebolehan yang saya boleh beri kepada pasukan dan kelab saya,” ujarnya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.
Tambah Bergson, pencapaian yang telah dirangkul oleh skuad Harimau Selatan itu amat memuaskan pada musim ini walaupun tidak berjaya untuk melunaskan misi ke pusingan ACL yang seterusnya.
Bagi Bergson, musim 2023 ini telah menjadikan JDT sebagai satu pasukan yang lain daripada yang lain, sekaligus menjadikan mereka lebih kuat dan bersatu dalam apa jua perkara.
“Apa yang saya belajar pada musim ini adalah bagaimana kita cuba untuk membantu pasukan dan kita telah buktikan yang JDT boleh bersaing dengan kelab gergasi Thailand, Korea mahupun Jepun,” katanya.