PENYERANG berbisa Johor Darul Takzim (JDT) FC, Bergson Da Silva menyifatkan perlawanan bertemu Selangor FC seakan sama dengan permainan mereka ketika  beraksi di Pentas Liga Juara-Juara AFC sebelum ini.

Menurut Bergson, dia berpuas hati dengan persembahan pasukan yang berhempas pulas bagi meneruskan momentum kemenangan.

“Dalam tiga perlawanan sebelum ini, saya rasa dalam ACL, kita bermain seperti perlawanan hari ini. Yang lebih penting semangat sepasukan, mereka memberikan segala-galanya di dalam padang.

 

“Hasil datang selepas kami mempamerkan aksi yang positif, 5-1, dan ia permainan yang sangat baik bagi kami,” ujar pemain Kelahiran Brazil itu.

Bagaimanapun, dia mengakui rehat yang panjang sedikit sebanyak mengganggu momentum pasukan Harimau Selatan namun tetap mencuba sebaik mungkin memahami taktikal yang diterapkan Benjamin Mora.

“Ia sukar kerana tiada perlawanan dalam waktu yang panjang, tetapi kita mencuba memahami satu persatu semasa sesi latihan.

“Itulah yang terjadi, ketika membantu pasukan apabila saya melakukan serangan balas, rakan sepasukan harus berada berdekatan, dan perkara yang indah berlaku. Hari ini perkara baik berlaku dan kita menang 5-1 adalah sangat baik,” katanya.

 

Sementara itu, ketika ditanya tentang sasaran dan keinginan merangkul anugerah Kasut Emas, dia tidak memikirkan perkara tersebut buat masa ini.

Fokusnya kini adalah untuk membawa pulang kejuaraan kali ke-9 buat Southern Tigers dan menganggap pasukan mereka berhak mendapat pengiktirafan tersebut.

“Saya rasa itu tidak penting sekarang. Yang penting adalah keputusan menakjubkan 5-1,  dan kami tidak tahu apa yang akan berlaku untuk perlawanan seterusnya tetapi saya lupakan dahulu tentang anugerah kasut emas.

“Saya mahu menjadi juara untuk kali ke-9 kerana kelab ini berhak, kami berhak dan kita akan berikan yang terbaik di dalam padang,” jelas pemain berusia 31 tahun itu.