MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu semua pihak bersabar dengan prestasi atlet di bawah program Road to Gold (RTG) dan membenarkan penasihat teknikal jawatankuasa itu menjalankan tugas mereka.

Katanya, RTG ditubuhkan bagi menyelaras program untuk dua kitaran Sukan Olimpik, iaitu Paris 2024 dan Los Angeles 2028, jadi beliau enggan membuat keputusan terburu-buru mengeluarkan atlet yang berada dalam perogram terbabit.

“Kejohanan berlangsung setiap minggu dan jika setiap minggu kita mahu singkir keluar atau memasukkan nama baharu, tak bagus untuk atlet,” kata Hannah, ketika diminta mengulas mengenai prestasi jaguh badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong yang masih gagal menempatkan diri di posisi terbaik dalam kejohanan disertai.

Zii Jia tersingkir di pusingan pertama kejohanan jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) buat kali keempat tahun ini, di susuli empat kekalahan di pusingan kedua.

Lee Zii Jia

Terbaharu, pemain profesional negara itu tersingkir di pusingan pertama Terbuka Korea semalam, selepas tewas kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long.

Sementara itu, Pandelela tersingkir di pusingan kelayakan awal 10 meter platform, Kejohanan Akuatik Dunia, di Fukuoka, Jepun, Selasa lalu.

Pandelela bukan hanya gagal ke final, malah tidak layak beraksi di separuh akhir acara itu.

Hannah yang ditemui pada majlis meraikan ulang tahun ke-30 Al-Ikhsan, di IOI City Mall, Putrajaya berkata, semua atlet memerlukan sokongan untuk mendatangkan hasil.

“Kita sudah beritahu sebelum ini bahawa prestasi atlet RTG akan dinilai semua pada September, malah Zii Jia juga sudah melantik jurulatih dan biarkan jurulatih melaksanakan tugasnya dahulu.

“Setiap atlet yang akan layak ke Olimpik bermaksud mereka ada peluang untuk dapatkan pingat emas. Saya tidak boleh kata hanya Jijoe (Datuk Azizulhasni Awang) ada peluang dapatkan pingat emas, tapi Aaron (Chia) dan (Soh) Wooi Yik tak ada peluang.

“Sekarang kita beri peluang untuk perkhidmatan tambahan memainkan peranan untuk memban tu prestasi atlet,” kata Hannah.