KEDUDUKAN Pau Marti Vicente sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, mungkin mencetus senario baharu yang baik buat skuad kebangsaan.

Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh berkata, setiap jurulatih mempunyai corak dan gaya berbeza yang akan diterapkan dalam pasukan.

“Mungkin dia ada gayanya tersendiri, kalau dia berasal dari Sepanyol… mungkin corak permainan lebih cenderung seperti Barcelona.

Setiap jurulatih mempunyai gaya tersendiri dan Pau Marti Vicente mungkin mempunyai pengaruh gaya Sepanyol. -Datuk Dollah Salleh

“Tetapi bagi saya, apa sekalipun yang mahu diterapkan, tiada halangan jika jurulatih itu diberi ruang masa yang cukup, malah di Malaysia juga ramai yang meminati corak bola sepak Sepanyol,” kata Dollah, ditemui pada Majlis Konvoi Jiwa Merdeka menerusi kerjasama program Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dengan Da Men Mall, di Subang Jaya.

Begitupun, beliau menegaskan bahawa  apa juga corak yang bakal diterapkan itu, bergantung kepada pemilihan pemain yang dipanggil menyertai Harimau Malaya.

Datuk Dollah Salleh minta semua pihak memberi ruang dan masa kepada Pau Marti Vicente, untuk tunjukkan kebolehannya mengemudi Harimau Malaya.

“Apa-apapun kita kena tengok pemain yang diserapkan dalam pasukan. Itu yang mustahak kerana kadang-kadang kalau terburu-buru pilih pemain mungkin ada masalah.

“Jurulatih kena pandai pilih pemain. Mungkin Pau Marti tidak ada masalah pilih pemain kerana dia berpengalaman bersama pasukan ketika jadi staf kejurulatihan Kim Pan-gon,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Pau Marti sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya hingga hujung tahun ini, menggantikan tempat Pan-gon.

Dalam pada itu, Dollah meminta peminat agar memberi masa kepada Pau Marti, untuk menunjukkan kebolehan mengemudi skuad kebangsaan.

“Kena tengok dulu bagaimana cara dia (Pau Marti) mengendalikan pasukan negara dan tidak adil kalau nilai sekarang sebab kita belum tengok dia uruskan pasukan.”

Mengulas mengenai saingan Pestabola Merdeka yang akan membuka tirainya Rabu ini, beliau berharap skuad negara mampu memastikan piala berprestij itu kembali ke bumi Malaysia.

“Kalau kita tengok zaman dahulu piala ini yang paling ditunggu-tunggu oleh pemain. Kalau dapat bermain untuk Malaysia (Pesta Bola Merdeka) rasa happy.

“Kalau boleh memang harapan saya nak lihat piala itu kembali ke negara ini sebab ia satu kemegahan untuk kita,” katanya.