LANSKAP bola sepak tempatan kini semakin mendapat perhatian pihak korporat dengan satu lagi pasukan mendapat tajaan dan pemilikan baharu apabila Rinani Group Berhad menandatangani perjanjian bersama Kuala Lumpur City FC.

Majlis menandatangani perjanjian itu telah berlangsung pada waktu rehat separuh masa ketika aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras antara Presiden KLFA, Khalid Samad dan Presiden Rinani Group Berhad, Noor Azri Noor Azerai.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh dihadapan lebih 7,000 penyokong yang hadir ke stadium menyaksikan kemenangan 3-0 KL City keatas Perak FC.

Bercakap secara eksklusif kepada FLASH SUKAN, Noor Azri berkata minat untuk melabur dalam pasukan di Liga Malaysia timbul selepas dia membaca berita mengenai penswataan pasukan di Malaysia ketika dia sedang menuntut di England.

Anak muda berusia 23 tahun itu melihat potensi yang ada pada sukan bola sepak tempatan dan yakin dengan pelaburan yang dilakukan selepas berbincang dengan ahli lembaga pengarah syarikat sebaik dia pulang ke tanah air.

“Ketika saya sedang melanjutkan pelajaran di London, saya ada terbaca berita mengenai kelab bola sepak Malaysia yang perlu menjalani proses penswataan dan ini menarik minat saya untuk mengembangkan perniagaan kami ke dalam industri sukan.

“Walaupun saya cenderung kepada sukan ragbi, tetapi saya difahamkan dari 30 juta penduduk Malaysia, 10 peratus atau tiga juta individu adalah peminat sukan bola sepak dan ini jelas akan memberikan syarikat kami lebih capaian dan penglibatan dalam masyarakat menerusi sukan ini.

“Kami yakin untuk melabur selepas melihat semakin banyak syarikat korporat yang melabur dalam bola sepak tempatan dan selepas perbincangan bersama ahli-ahli korporat yang lain, Rinari memutuskan untuk menyertai keluarga bola sepak.

“Kuala Lumpur City FC dipilih kerana ia adalah kelab ibu kota Malaysia dengan rekod yang baik dan mereka mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif yang juga bekas pemain bola sepak yang memahami tentang sinergi bisnes dan bola sepak selain syarikat kami yang berpangkalan di Lembah Klang.

“Selain itu saya juga memberikan kredit kepada DNA dan sikap yang disemai dan ditunjukkan oleh Stanley Bernard dan ketua jurulatih Bojan Hodak,” kata bekas pelajar MRSM Alor Gajah itu.

Rinani Group Berhad adalah sebuah konglomerat pelaburan yang memegang saham penting di dalam beberapa syarikat yang tersenarai di bursa saham selain pakar dalam bidang takaful, insurans, pembiayaan runcit, faedah pekerja dan pengurusan kekayaan.