BERKAT menghubungi dan memohon restu ayah sebelum beraksi di final, Nor Iman Hakim Rakib tidak menyangka berjaya mendapat tuah meraih pingat emas buat kontinjen negara.

Atlet kick boxing itu mendedahkan, dia menghubungi bapanya yang juga bekas petinju (Rakib Ahmad), bukan hanya mendapat restu malah diberi strategi tambahan untuk menumbangkan lawan dalam gelanggang.

“Saya harap keluarga saya gembira sebab adik saya pernah mendapat emas dahulu (Sukan Sea). Saya hubungi ayah dan dia bagi strategi, semangat dan pesan buat yang terbaik,” katanya.

Pada pentas final, Nor Iman menumbangkan lawan dari Indonesia, Firman Muharram Syach dengan keputusan 2-1 ketika memenangi pingat emas acara kick light bawah 69 kilogram (kg) lelaki yang berlangsung di Elephant Hall Morodok Techo.

Dia yang pada awalnya hanya diletakkan sasaran untuk membawa pulang gangsa, terutamanya masih mengalami demam, mengubah Nasib dengan sumbangan emas ke-33 buat kontinjen negara.

Nor Iman Hakim Rakib (merah) akhirnya meraih emas di Sukan Sea selepas bertukar angin dari Taekwondo ke Kick boxing.

“Terima kasih kepada ISN (Institut Sukan Negara) kerana saya terpaksa mendapatkan khidmat urutan tiga kali disebabkan mahu badan saya dalam keadaan baik. Nampak macam alasan, tetapi itulah yang buat saya bersemangat,” kata petinju berusia 23 tahun itu.

Emas yang dimenangi itu juga amat bermakna buat Nor Iman kerana ini kali pertama dia tampil dalam sukan kick boxing di pentas Sukan Sea selepas hanya meraih perak dan gangsa dalam sukan taekwondo pada edisi 2019 dan 2021.

Nor Iman turut berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Muaythai Malaysia yang banyak membantu dalam mencapai cita-citanya untuk menggenggam pingat emas di Sukan Sea Kemboja.

“Saya tak boleh nak jelaskan bagaimana gembiranya saya ketika ini. Bermula dari pingat perak, gangsa dan akhirnya pingat emas ini jadi milik saya,” katanya.