“MARA ke final agak teruja, namun dalam masa yang sama sedikit kecewa kerana tidak ada hadiah lumayan,” luah salah seorang finalis yang akan bermain pada saingan akhir Piala Cabaran MFL, 29 November ini.

Menurutnya (sumber), mara ke final adalah sesuatu yang besar selepas hampir tiga bulan memerah keringat dan memberi segalanya di atas padang.

Namun ada kecewa kerana perebutan hanyalah sebuah trofi dan medal.

“Sekurang-kurangnya kalau ada hadiah wang tunai, perasaan teruja akan lebih tinggi. Saya fikir komitment semua pemain dan pasukan yang bukan sahaja berkorban masa, tetapi dari segi pengurusan juga yang melibatkan kos yang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung.

“Kalau aksi ‘away’, lagi banyak kos yang perlu dikeluarkan pihak pengurusan. Mereka bermain seperti mengejar hadiah lumayan, hakikatnya hanya sekadar trofi pusingan,” jelasnya yang enggan dikenali kepada Flash Sukan.

Tambahnya, dia berharap pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat memberi perhatian dengan perkara ini (hadiah wang tunai) pada musim akan datang.

“Kalau nak harapkan kutipan daripada tiket memang tidak berbaloi memandangkan kehadiran penonton tidak penuh.

“Saya yakin sekiranya ada hadiah wang tunai, momentum pertandingan ini akan lebih menarik.”

Sebagai rekod, tahun ini menyaksikan pasukan PDRM FC dan Kuching FC bakal berentap di pentas akhir Rabu ini dan bermain secara timbal balik (home & away).