Foto: MOM

ATLET angkat berat negara yang menyumbang emas pertama Malaysia, Mohd Aniq Kasdan dalam acara 55 kilogram pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham mengakui kerja kerasnya selama ini akhirnya berbaloi.

Aniq,20, merupakan atlet kelahiran Johor memberi kegembiraan kepada kontinjen negara dan seluruh peminat sukan tanah air dengan kejayaan pertamanya di pentas Sukan Komanwel ini.

“Sokongan keluarga, kawan-kawan, Persatuan Angkat Berat, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan orang-orang tersayang penyuntik utama saya kejayaan ini.

“Malah kejayaan ini juga disebabkan abang saya. Tanpa abang, saya tidak akan berada di sini. Dialah yang membawa saya bermain angkat berat,” kongsinya Ketika ditemuramah Astro Arena selepas merangkul pingat emas.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam dunia angkat berat, Aniq memberitahu dia sebenarnya aktif dalam sukan hoki.

“Selama lapan tahun bermain hoki sehingga Tingkatan 3. Tetapi satu hari abang ada ajak temannya pergi berlatih angkat berat. Lepas tu balik rumah, saya bagitahu ibu bapa nak main angkat berat dan mereka sokong.

“Rasanya berbaloi bertukar sukan. Ketika bermain hoki saya agak sukar untuk mendapatkan tempat kerana badan agak kecil, saingannya agak tinggi.

“Kejayaaan hari ini juga datang sebab latihan yang berterusan. Sebelum ini Ketika PKP selama dua tahun tidak ada apa. Tetapi jurulatih suruh saya teruskan latihan.

“Saya menjalani latihan di rumah sehingga simen rumah pecah tiga kali,” ujarnya.

Aniq menamatkan saingan snatch dengan angkatan seberat 107 kilogram dalam percubaan pertamanya dan kemudian memecahkan rekod Sukan Komanwel dalam saingan clean and jerk dengan angkatan 142 kilogram.

Dengan jumlah keseluruhan, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2021 ini mengumpul angkatan seberat 249 kilogram untuk memenangi pingat emas pertama kontinjen negara.

Untuk rekod, Aniq juga merupakan pemenang pingat emas pada Kejuaraan Angkat Berat Komanwel di Tashkent tahun lalu.