FINAL Liga Juara-Juara pasti menggamit memori indah penyokong di seluruh dunia tidak kiralah yang menyaksikan di stadium ataupun menonton secara langsung dari kaca televisyen.

Menerusi perkongsian pengguna Twitter yang bernama Gary @garyhayes64 , dia mengimbas kembali detik perlawanan akhir Liverpool bertemu Real Madrid pada 27 Mei 1981.

Kelihatan bersama bendera tertera tulisan Liverpool Paris. Paling mencuri tumpuan adalah gadis yang sama menemaninya semasa di Perancis.

Ketika itu, Liverpool yang dibawah seliaan Bob Paisley muncul di final ketiga mereka, selepas dua penampilan pada tahun 1977 dan 1978. Real Madrid  hadir di final kesembilan mereka, sebelum ini memenangi pertandingan itu enam kali dan kalah dua kali.

Secara kebetulan, pertembungan awal pagi esok menemukan jaguh kelab Sepanyol dan The Reds, juga di Paris awal pagi Ahad.

Gary yang berada di England sempat membuat ciapan dirinya dalam perjalanan menuju ke Paris sekali lagi, bersama pasangan tercinta yang dibawanya 41 tahun lalu.

“Berpisah 41 tahun dan kami dalam perjalanan ke Paris sekali lagi #UCLfinal,” ciapnya pada Sabtu.

Sementara itu, komen balas pengguna Twitter dalam ruangan Gary dilihat begitu teruja dan memuji percintaan sejati mereka sejak sekian lama.

@yanscouse menulis : “Masa yang sesuai untuk date di Paris.”

@StevenMcauley2 pula menulis : “Enjoy! Semoga mendapat hasil (keputusan perlawanan) yang sama.”

Skuad bimbingan Jurgen Klopp, Liverpool merancang untuk menamatkan musim yang menakjubkan dengan membalas dendam kekalahan mereka pada 2018 di tangan Real Madrid ketika kedua-dua pasukan kembali ke final Liga Juara-Juara di Paris.

Bagaimanapun gergasi La Liga itu juga berkeinginan mahu mendakap kejayaan ke-14 Piala Eropah.

Ia adalah final ketiga Liverpool dalam Liga Juara-Juara dalam lima musim selepas kalah 3-1 kepada Real di Kyiv diikuti kemenangan ke atas Tottenham Hotspur di Madrid setahun selepas itu dan mereka dilihat sebagai pilihan di Stade de France untuk bergelar Raja Eropah buat kali ketujuh.