KETIKA leka dan bangga melihat jiran tetangga kita, Indonesia meraih dua mata dalam Kelayakan Piala Dunia Pusingan Ketiga selepas mengikat Arab Saudi dan Australia yang memberikan 15 mata tambahan dalam ranking Fifa, terkadang terfikir adalah Malaysia juga patut melakukan apa yang sedang dilakukan Indonesia pada Timnas mereka.
Malaysia juga bukan calang-calang apabila turut meraih 10 tambahan mata dalam ranking Fifa selepas menjuarai Pestabola Merdeka tetapi jika dilihat dengan trend terkini, Harimau Malaya masih jauh ketinggalan dan perlu melakukan sesuatu untuk bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bajet khusus RM15 juta buat pembangunan skuad kebangsaan dan ditambah sokongan Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail dilihat bakal menjadi sinar baharu buat Malaysia.
Sejurus pengumuman itu dilakukan, beberapa nama orang putih yang mempunyai susur galur Malaysia mula didedahkan dan mereka juga bersetuju untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya segala dokumen yang disertakan menepati kehendak pemain warisan mengikut ketetapan Fifa.
Melihat apa yang berlaku di Indonesia, rata-rata pemain mereka kini berketurunan Belanda dan sembilan dari 11 pemain adalah berdarah warisan dengan pemain-pemain tempatan mengisi bangku simpanan.
Pemain-pemain yang sebelum ini menjadi kesebelasan utama serta kapten pasukan kini menjadi pilihan kedua barisan kejurulatihan namun bagi para penyokong ianya tidak menjadi masalah asalkan keputusan di dalam padang memihak kepada Indonesia.
Bersediakah kita sebagai penyokong Malaysia melihat perkara yang sama terjadi di sini. Ianya bukan perkara mustahil kerana kini banyak pemain naturalisasi diberikan peluang bermain dan pemain tempatan memanaskan bangku simpanan.
Apa yang pasti, penilaian pemain warisan ini perlu dilakukan sebaik mungkin dan bukan tangkap muat. Pemain-pemain warisan yang terbaik perlu diberikan peluang menyarung jersi Harimau Malaya tetapi mereka harus kekal bermain di luar negara kerana aksi kompetitif di sana yang akan membantu skuad kebangsaan.
Mungkin selepas ini skuad kebangsaan akan digelar England 2.0 kerana membariskan pemain-pemain warisan dan bersediakah para penyokong memberikan sokongan kepada pasukan ini sebagaimana sokongan yang diberikan selama ini.
Melihat kepada corak sokongan penyokong tempatan, Malaysia mempunyai lebih banyak peminat berbanding penyokong yang mana akan menyokong apabila keputusan yang baik dicapai dan atas sebab ini siapa pun yang bermain akan disokong sebagai pasukan Harimau Malaya.
Sedia atau tidak, inilah gelombang perubahan yang akan berlaku dalam lanskap bola sepak tempatan. Harimau Malaya wajah baharu sedia membaham mangsa yang datang. Raikanlah.