BEKAS bintang bola sepak negara era 1970-an, Harun Jusoh, meninggal dunia pada Selasa selepas bertarung dengan penyakit saraf dan radang sendi sejak lebih dua tahun lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sharifah Azizah Syed Omar, 71, dan empat orang anak.
Menurut salah seorang anaknya, Firdaus, 40, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun di kediamannya di Lorong Haji Da, Batu Buruk kira-kira 4 petang, semalam.
Firdaus berkata, tahap kesihatan arwah mulai merosot awal minggu ini sebelum mengalami demam beberapa hari lalu dan hilang selera makan.
“Ketika berada dalam keadaan sihat, arwah seorang yang suka bercerita terutama pengalaman sebagai bekas pemain kepada cucu-cucunya namun hanya mampu terlantar di atas katil sejak jatuh sakit.
“Sebaik mengetahui tahap kesihatan arwah semakin memburuk, saya yang bekerja dan tinggal di Tampoi, Johor Bahru segera pulang dan tiba di kampung jam 3 pagi (Selasa).
“Saya bersyukur arwah ayah menghembuskan nafas terakhir di samping isterinya, anak, menantu dan cucu di rumah,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN, semalam.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Harun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk, 9.30 malam pada Selasa.
Kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan Allahyarham menghadiri pengkebumiannya termasuk bekas jurulatih Terengganu dan pasukan kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.
ARTIKEL BERKAITAN : Bekas skuad Harimau Malaya Olimpik Munich 1972 Harun Jusoh meninggal dunia
Allahyarham merupakan tonggak negara yang beraksi pada Sukan Olimpik Munich 1972 bersama beberapa nama besar seperti Allahyarham Namat Abdullah, Allahyarham Ali Bakar dan mendiang M. Chandran.
Allahyarham turut menyarung jersi Malaysia di Sukan Asia di Tehran, Iran pada 1974 yang meraih pingat gangsa selain membantu skuad negara mengalahkan Arsenal 2-0 pada 1975.
Penderitaan Allahyarham pernah mendapat perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim yang menziarahi arwah, Jun lalu.