PENERJUN sensasi negara, Bertrand Rhodict Lises gembira sekiranya namanya diserapkan dalam Program Road To Gold (RTG) selepas dia berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Atlet kelahiran Sarawak itu layak ke Olimpik Paris selepas menamatkan saingan separuh akhir 10 meter platform individu di tempat ke-10 dengan catatan mata 420.70 ketika Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka pada Julai 2023.
Dia menyedari kepentingan untuk berada di dalam Program RTG kerana dia boleh mendapat banyak kelebihan sebagai atlet yang boleh membantunya beraksi lebih baik di Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.
“Kalau saya dapat masuk ke program RTG ianya satu keistimewaan tetapi saya sedar saya masih muda dan mampu untuk berikan saingan kepada penerjun lain di Olimpik.
“Saya boleh mendapat apa yang saya perlukan jika berada di dalam program berbanding di luar dan atas faktor itulah saya mahu layak ke program RTG,” katanya ketika menerima lawatan Chef De Mission Kontinjen Malaysia di Bukit Jalil.
Bertrand juga bakal mengikuti latihan persediaan sama ada di Amerika Syarikat, Mexico atau United Kingdom tetapi dia lebih memilih United Kingdom kerana kelebihan logistik dan zon masa.
“Jika diberikan pilihan, saya mahu memilih berlatih di United Kingdom bersama skuad terjun England kerana lebih dekat dengan Paris serta mempunyai zon masa yang sama jadi saya tidak perlu menyesuaikan diri.
“Saya berharap latihan persiapan ini memberi manfaat buat saya kerana masa sudah semakin suntuk dan saya perlu berikan yang terbaik untuk memperbaiki ranking dan corak terjunan serta menjadi lebih kompetitif,” jelasnya.
Bertrand menerima kunjungan Chef De Mission (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Timbalan CDM, Datuk Nicol David ketika sesi latihan bagi mendapatkan nasihat dan kata-kata semangat menjelang aksi sebenar bermula Julai 2024.