WAKIL tunggal sukan terjun ke Sukan Olimpik Paris, Bertrand Rhodict Lises kini berada di Singapura, menjalani latihan intensif menggunakan darjah kesukaran lebih tinggi.
Pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas berkata, penerjun berusia 19 tahun itu akan berada di Kota Singa sehingga hujung bulan ini, sebagai persiapan ke Temasya Paris yang akan berlangsung 26 Julai hingga 11 Ogos.
“Bertrand masih berada di Singapura bagi menjalani kem latihan sehingga 30 Mei ini.
“Selepas itu, dia bersama Nur Dhabitah (Sabri) dan (Ooi) Tze Liang akan ke Australia bagi menyertai Kejohanan Kebangsaan Australia.
“Dari segi perkembangan latihan, masih baik dan dia pun sedang belajar terjunan baharu.
“Bagaimanapun, kena tengok juga sama ada terjunan itu boleh dipakai ataupun tidak semasa pertandingan (Olimpik) kerana ia memerlukan teknik yang sangat baik,” katanya.
Ujar Bryan lagi, kejohanan di Australia yang akan bermula 2 hingga 10 Jun depan dianggap sebagai pentas terbaik buat Bertrand menguji teknik baharu itu, sebelum membawa cabaran Malaysia di Olimpik Paris.
Dalam pada itu, Bryan memaklumkan Dhabitah dan Tze Liang turut dibawa menyertai kejohanan di Australia sebagai langkah persiapan sekiranya mereka diberikan kuota untuk mengiringi Bertrand ke Paris.
“Memang kita ada buat persediaan kerana risau sekiranya nama mereka naik untuk kuota yang tidak digunakan itu. Jika itu berlaku, sekurang-kurangnya kita sudah siapkan mereka sebelum ke Paris nanti.
“Kedua-dua atlet ini masih ada peluang walaupun sangat tipis,” katanya sambil berkongsi peluang Tze Liang memiliki lebih cerah, namun segala-galanya bergantung kepada pengumuman World Aquatics pada awal Jun nanti.
Bertrand menjadi penerjun tunggal negara yang layak secara merit ke Olimpik Paris dalam acara 10 meter (m) platform individu, pada Kejohanan Dunia tahun lalu.