PENERJUN muda, Bertrand Rhodict tidak dapat menahan rasa sebak selepas tersingkir di pusingan kelayakan acara terjun 10 meter (m) platform individu lelaki.

Mengakui dia bukan tandingan penerjun berkelas dunia, namun penerjun berasal dari Sarawak itu tetap kecewa dengan prestasinya pada penampilan pertama di pentas Olimpik di Kota Paris.

“Sebenarnya saya kecewa kerana saya tahu kemampuan saya, tetapi gagal diterjemahkan dengan baik.

“Saya sedar tahap saingan di sini berbeza, persekitaran Olimpik sangat kuar dan saling menyokong,” kata Rhodict dalam nada sebak.

Tekanan kali pertama beraksi di Sukan Olimpik pasti amat dirasai Bertrand Rhodict Lises.

Dia mengakui sudah cuba menampilkan prestasi terbaik terutamanya di hadapan ibu bapanya yang hadir ke Pusat Akuatik Paris untuk menyaksikan terjunannya.

Penerjun berusia 19 tahun itu mengakhiri perjuangan di kedudukan ke-25 daripada 26 peserta dengan catatan keseluruhan 313.70 mata.

Hanya 18 penerjun terbaik daripada pusingan kelayakan mara ke separuh akhir.

Bertrand bermula positif apabila mengumpul 66 mata pada terjunan pertama dan 60.80 mata di terjunan kedua untuk menduduki tangga ke-16 selepas dua terjunan.

Bertrand Rhodict Lises mempamerkan aksi tidak konsisten pada penampilan pertama di Temasya Olimpik.

Bagaimanapun, prestasi Bertrand mula merosot pada terjunan ketiga apabila hanya mengutip 49.50 mata diikuti 34.00 mata di terjunan keempat dan 37.80 mata di terjunan kelima, sekali gus terkeluar dalam kelompok 18 terbaik.

Atlet kelahiran Sarawak itu cuba melakukan kebangkitan pada terjunan terakhir apabila dia mengutip 65.60 mata namun ia masih belum cukup untuk melonjakkan dirinya dalam kelompok 18 terbaik bagi layak ke separuh akhir.

Pusingan kelayakan diungguli juara bertahan dari China, Cao Yuan yang berada di kedudukan pertama selepas mengutip keseluruhan 500.15 mata diikuti penerjun Jepun, Rikuto Tamai kedua dengan 497.15 mata manakala atlet Kanada, Rylan Wiens ketiga dengan 482.25 mata.